MAIZATUL Aini melihat keadaan kabin yang remuk dihempap pokok. FOTO Nuraliawati Sabri
MAIZATUL Aini melihat keadaan kabin yang remuk dihempap pokok. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri

Melaka: "Hilang kata-kata dan teramat sedih sebaik melihat keadaan tempat mencari rezeki musnah dihempap pokok tumbang," itu kata peniaga di Pantai Puteri, Maizatul Aini Basri, 36.

Dalam kejadian hujan lebat dan ribut kira-kira jam 4 pagi semalam, kabin tempatnya berniaga makan lebih setahun lalu musnah dihempap pokok besar yang tumbang.

Menurutnya, dia mengetahui mengenai kejadian kira-kira jam 4.15 pagi, apabila dihubungi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pantai Rombang, Muhammad Shafiq Ab Majid sebelum bergegas ke tempatnya berniaga bersama suami.

"Ketika itu cuaca memang tengah hujan dan angin kuat tetapi saya tetap mengajak suami ke kabin kerana fikir akan ada perkakas jualan yang dapat diselamatkan tetapi apabila sampai di situ semuanya remuk.

"Yang dapat ambil hanya sudu dan garfu serta satu tong gas. Pokok itu betul-betul menghempap kabin dan melintang atas jalan raya menyebabkan laluan terhalang," katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, dia kini buntu dan perlu mencari modal untuk membina kabin baharu serta membeli peralatan berniaga yang lain.

"Tidak tahulah bila dapat berniaga kembali, sebelum ini saya sudah mengeluarkan modal RM15,000 tetapi diuji sebegini, kalau nak berniaga semula semuanya perlu beli baharu.

"Disebabkan kejadian ini juga kami sekeluarga tidak dapat pergi ke Sukan Malaysia (Sukma) untuk memberi sokongan kepada anak sulung yang beraksi dalam perlawanan akhir kriket," katanya.

Turut terkesan dengan cuaca buruk yang melanda itu, penduduk Wardiyani Ayu Baba, 35, apabila dinding ruang tamu kediamannya retak selepas tembok di bahagian luar rumah sepanjang kira-kira tiga meter runtuh, kira-kira jam 3 pagi.

"Saya sangkakan bunyi dentuman kerana pokok tumbang tetapi apabila ke ruang tamu saya lihat jam di dinding bergoyang.

"Dalam keadaan cemas saya kejutkan suami dan keluar untuk melihat apa yang berlaku sebelum melihat tembok runtuh.

"Apabila masuk kembali ke dalam rumah dinding ruang tamu kami retak," katanya.

Menurutnya, dia dan suami kini diselubungi rasa cemas kerana bimbang sekiranya dinding rumahnya akan runtuh secara tiba-tiba.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tuminah Kadi berkata, dalam kejadian ribut itu sebanyak lapan rumah di kawasan itu terjejas apabila bumbung rumah diterbangkan diterbangkan ribut.

"Selain itu, sebanyak 48 rumah lagi turut terjejas apabila kawasan kediaman mereka mengalami banjir kilat dan kita sudah mengambil tindakan segera untuk membantu mangsa yang terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 2:35 PM