Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kerajaan menyifatkan kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak kebelakangan ini adalah bersifat sementara.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa, berkata ia sementara menanti pelarasan sedang dilakukan Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara.

"Untuk tempoh itu ada positif dan ada negatif. Positifnya adalah barangan yang dieksport akan mendapat nilai yang lebih tinggi, namun kita negara yang import, kita perlu membayar lebih kerana bayaran dibuat dalam dolar.

"Apa yang penting, asas ekonomi kita terus kekal kukuh dan berkembang. Ekonomi negara dalam keadaan sihat namun mencabar disebabkan suasana ekonomi global.

"Disebabkan itu negara perlu membuat pelarasan selain kita perlu membina ketahanan bagi ekonomi negara,"

katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi pengagihan PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Kolej Matrikulasi Kok Lanas, di sini, hari ini.

Annuar berkata, apa yang perlu dilakukan adalah dengan meningkatkan produktiviti dan memperbanyakkan barang gantian kepada import.

"Rakyat Malaysia disaran membeli barangan Malaysia dan saya percaya semua ini akan dilihat melalui dasar fiskal oleh Kementerian Kewangan," katanya.

Pada masa sama beliau berkata, kerajaan sebelum ini menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) susulan kelembapan ekonomi dan kini perlu dinaikkan bagi membolehkan Malaysia bersaing dengan negara lain berikutan ekonomi sudah dibuka.

"Bagaimanapun penilaian OPR diputuskan Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara dan tidak boleh dikawal oleh kerajaan.

"Sekiranya OPR tidak dinaikkan, nilai mata wang kita akan terus jatuh," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Malaysia tidak mengalami krisis ekonomi meskipun penurunan nilai ringgit berbanding dolar AS ketika ini, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, prestasi ringgit harus dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya dibandingkan dengan dolar AS kerana mata wang tempatan itu juga meningkat berbanding banyak mata wang utama lain di dunia.

Balai Polis Chaah yang tenggelam susulan air naik. FOTO AHMAD ISMAIL
Balai Polis Chaah yang tenggelam susulan air naik. FOTO AHMAD ISMAIL

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 3:53 PM