ZURAINI (kiri) melihat ubat yang dibekal kepada pesakit kanser pankreas, Rajni (tengah) ketika mengunjungi rumahnya di Kampung Tanjung, Ulu Melaka. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ZURAINI (kiri) melihat ubat yang dibekal kepada pesakit kanser pankreas, Rajni (tengah) ketika mengunjungi rumahnya di Kampung Tanjung, Ulu Melaka. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli

Langkawi: Sakit dalam perut yang dialami Rajni Mohd Sabri, 45, sejak April lalu rupanya disebabkan barah pankreas dihidapinya.

Rajni disahkan menghidap barah itu selepas melakukan pemeriksaan endoskopi di Hospital Sultanah Maliha (HSM).

"Saya rasa senak di perut malah sukar untuk tidur. Ada kalanya, saya berguling akibat kesakitan.

"Pemeriksaan kemudiannya mendapati, ada luka di usus selain ketulan dalam pankreas sebelum saya dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung, Ulu Melaka di sini, baru-baru ini.

Menurut Rajni, dia disahkan menghidap barah itu selepas dirawat di HSB dan perlu menjalani 12 rawatan kemoterapi.

Katanya, setiap kali hendak ke Alor Setar, dia memerlukan sekurang-kurangnya RM500 untuk menampung kos tiket feri, makan minum serta menempah kenderaan e-hailing.

"Disebabkan perlu berjimat, saya pergi ke Alor Setar seorang diri dan menumpang bermalam di rumah saudara di Kota Sarang Semut sebelum ke HSB untuk rawatan.

"Selepas selesai kemoterapi, saya perlu berehat seharian sebelum pulang ke Langkawi menaiki feri," katanya.

Menurutnya, sejak menghidap barah, dia tidak dapat bekerja dan hanya bergantung kepada pendapatan isteri, Anura A'azip, 46, yang baru sebulan bekerja di bahagian pembersihan sebuah hotel di sini, dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

Pada masa sama, katanya, disebabkan penyakitnya itu, dia tidak dapat melakukan kerja berat kerana sering mengantuk dan perlu banyak berehat.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubunginya di talian 010-2557534.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM) Zuraini Kamal yang mengunjungi Rajni di rumahnya turut menyerahkan sumbangan daripada CSM termasuk wang untuk meringankan beban lelaki berkenaan.

Zuraini berkata, pihaknya turut memberi sokongan moral kepada pesakit itu bagi memastikan kesihatannya bertambah baik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 2:18 PM