KEADAAN sekitar Jeti Pulau Ketam pagi ini. FOTO Faiz Anuar
KEADAAN sekitar Jeti Pulau Ketam pagi ini. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain


Klang: Paras air laut mencecah 5.4 meter (m) di beberapa lokasi di daerah ini susulan fenomena air pasang besar yang bermula hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, lokasi pemantauan yang dilakukan bomba membabitkan Jalan Kunci Air, Pengkalan Nelayan, Jalan Genting, Jeti Sayang di Sayang dan Pengkalan Sungai Keramat.

"Setakat ini, keadaan cuaca baik dan tiada risiko banjir.

"Air pasang besar pada jam 6.42 pagi setinggi 5.4 meter. Keadaan air terkawal dan tidak menjejaskan aktiviti penduduk setempat," katanya kepada media.

Sementara itu tinjauan di Stesen Pelabuhan Klang mendapati keadaan terkawal dan penduduk setempat menjalani aktiviti harian seperti biasa.

Semalam media melaporkan, penduduk daerah Klang disarankan berwaspada dengan fenomena air pasang besar dan Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku mulai September hingga Disember ini yang boleh membawa risiko banjir dan runtuhan ban.

Pada bulan ini, paras air laut tertinggi di Stesen Pelabuhan Klang dijangka berlaku pada 12 September iaitu 5.5 m pada jam 7.18 pagi manakala pada 11, 13 dan 28 September pula pada paras 5.4 m.

Hafisham berkata, bagi daerah Kuala Langat pula, pemantauan dijalankan bomba di Jeti Sri Tama, Pulau Carey dan Jeti Sri Tanjung Batu 9 Sijangkang.

"Keadaan air berada pada paras berjaga-jaga ketika pemantauan dijalankan sekitar jam 6.50 pagi tadi," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor akan sentiasa bersiap sedia dan membuat pemantauan dari semasa ke semasa.


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 11:06 AM