ANGGOTA bomba memadam kebakaran bas persiaran dinaiki 44 pelajar Kolej Matrikulasi Kedah hari ini. FOTO Ihsan BBP Gerik.
ANGGOTA bomba memadam kebakaran bas persiaran dinaiki 44 pelajar Kolej Matrikulasi Kedah hari ini. FOTO Ihsan BBP Gerik.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Gerik: Lebih 40 pelajar Kolej Matrikulasi Kedah (KMK) Changlun, Kedah berdepan detik cemas apabila bas persiaran dinaiki mereka terbakar di KM39.5 Jalan Raya Timur Barat dekat Banding, di sini, petang tadi.

Difahamkan, ketika kejadian bas itu yang mempunyai seorang pemandu dan dinaiki 44 pelajar dalam perjalanan pulang dari Kelantan ke kolej berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Azizan Aziz berkata, kebakaran memusnahkan 85 peratus bas namun tiada mangsa tercedera.

"Panggilan kejadian diterima pada 2.05 petang dan sepasukan anggota dikerah ke lokasi untuk operasi pemadaman.

"Semua pelajar dan pemandu sempat keluar menyelamatkan diri dan kebakaran tidak membabitkan kemalangan jiwa.

"Pemadaman menggunakan dua aliran pancutan bersumberkan jentera dan anggota turut membuat 'overhaul' bagi memastikan tiada unsur boleh menyebabkan kebakaran berulang," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, operasi tamat pada 3.48 petang dengan punca kebakaran masih dalam siasatan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 6:24 PM