TENGKU Zafrul beramah mesra dengan pengunjung pada program Karnival Gegar Kerjaya. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.
TENGKU Zafrul beramah mesra dengan pengunjung pada program Karnival Gegar Kerjaya. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.
Amirul Aiman

Kuala Selangor: Kepentingan rakyat, perniagaan, ekonomi dan penyampaian perkhidmatan menjadi fokus utama dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 7 Oktober depan, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, kerajaan juga akan memberikan tumpuan kepada keperluan dan bantuan yang berterusan kepada kumpulan B40 yang mana golongan itu dijangka turut berdepan cabaran getir ekonomi pada tahun depan.

"Keperluan golongan B40 akan diteruskan terutama dalam menghadapi isu kos sara hidup tinggi akibat kadar inflasi, gangguan bekalan atau rantai makanan dan geopolitik.

"Kita akan terus memberi tumpuan menyalurkan bantuan kepada golongan ini bagi jangka masa pendek, sederhana dan panjang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Gegar Kerjaya di Stadium Utama Kuala Selangor di sini, hari ini.

Karnival Gegar Kerjaya yang berlangsung selama dua hari itu menyaksikan sebanyak 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan 30 syarikat terutama kepada golongan belia dan graduan tempatan.

Tengku Zafrul berkata, tahun 2023 adalah penting untuk Malaysia supaya lebih bersedia melakukan perubahan ke arah lebih baik.

"Umum mengetahui kadar inflasi kita juga masih rendah berbanding negara lain biarpun ada sedikit peningkatan.

"Unjuran kita pada tahun depan turut bergantung kepada keadaan ekonomi global kelak," katanya.

Menurutnya, kadar pengangguran negara juga menurun kepada 3.7 peratus setakat ini berbanding 5.3 peratus ketika pandemik Covid-19 pada Mei 2020.

"Ia menunjukkan perkembangan baik selaras dengan keadaan ekonomi yang semakin positif.

"Selain itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNKA) suku kedua tahun ini mencatatkan 8.3 peratus dan pertumbuhannya diyakini turut kukuh pada suku ketiga nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 4:09 PM