ANGGOTA polis maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar bahagian belakang sebuah lori di Batu 10 Hulu Langat berdekatan Taman Langat Ceria, dekat Kajang, hari ini.
ANGGOTA polis maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar bahagian belakang sebuah lori di Batu 10 Hulu Langat berdekatan Taman Langat Ceria, dekat Kajang, hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Anggota polis maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Batu 10 Hulu Langat berdekatan Taman Langat Ceria, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 6.30 pagi.

Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika mangsa berusia 32 tahun dalam perjalanan dari rumahnya di Dusun Tua ke tempat kerja di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa melanggar belakang sebuah lori rosak yang berhenti di bahu jalan berhampiran stesen bas tanpa mempamerkan sebarang tanda isyarat.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi," katanya dalam kenyataan, di sini.

Mohd Zaid berkata, saringan ujian air kencing terhadap pemandu lori berusia 57 tahun didapati negatif dadah dan alkohol.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor M Somasureshan di talian 016-4915193 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 4:02 PM