Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyempurnakan pelancaran Terminal Cruise Pelabuhan Klang (PKCT) yang juga terminal pelayaran penumpang antarabangsa di Pulau Indah, di sini, hari ini.

Baginda menzahirkan sukacita dan bangga apabila Northport (Malaysia) Bhd dan Westports Malaysia Sdn Bhd bergabung bagi mengambil alih terminal pelayaran itu dari Boustead Holdings Bhd.

"Syabas dan tahniah kepada PKCT dan pemilik barunya Northport dan Westports atas kejayaan menghidupkan semula terminal pelayaran kapal penumpang ini.

"Ini satu detik bersejarah dan satu kejayaan yang boleh dibanggakan kerana sejak Covid-19 melanda negara dan dunia, terminal ini sudah lama tidak beroperasi hingga menjejaskan kemasukan pelancong ke negara ini khususnya di Selangor.

"Pengambilalihan dan penjenamaan semula terminal pelayaran ini Beta lihat sebagai tepat pada masanya iaitu pada ketika negara sedang berhadapan dengan krisis ekonomi yang meruncing kesan dari pandemik Covid-19," titah baginda di majlis pelancaran itu.

Turut berangkat mengiringi baginda ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda sedar mengenai cabaran besar yang sedang dihadapi penggiat industri pelancongan dan pemulihan sektor itu memerlukan masa.

"Beta yakin dengan usaha pihak PKCT, ianya boleh dijadikan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan domestik dan antarabangsa di samping menjana semula pendapatan industri pelancongan di Selangor yang teruk terjejas," titahnya.

Baginda bertitah, bagi mempertingkatkan mutu dan daya saing industri ini, baginda menyarankan PKCT bekerjasama mempertingkatkan tahap fasiliti dan infrastruktur agar ia menjadi sebuah terminal pelayaran penumpang bertaraf antarabangsa.

"Usaha ini bagi memberi keselesaan kepada pelancong dalam dan luar negara yang menggunakan perkhidmatan kapal 'cruise' yang berlabuh di PKCT.

"Idea baru perlu diterokai bagi mengambil kesempatan terhadap pelancong yang menggunakan perkhidmatan kapal 'cruise' untuk singgah dan berkunjung ke Selangor serta Kuala Lumpur dan menjadikannya sebagai destinasi pelancongan utama mereka.

"Ianya secara tidak langsung akan menghidupkan semula dan merancakkan industri pelancongan di Selangor," titahnya.

Baginda juga berharap PKCT dapat menjana peluang pekerjaan kepada rakyat Selangor dan membantu mengatasi masalah pengangguran yang sedang melanda negara ketika ini dengan pengoperasian semula terminal itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 1:56 PM
SULTAN Sharafuddin Idris Shah (dua dari kiri) berkenan merasmikan PKCT diiringi Dr Wee Ka Siong (dua dari kanan) di Port Klang Cruise Terminal, Pulau Indah, Pelabuhan Klang. FOTO Faiz Anuar
SULTAN Sharafuddin Idris Shah (dua dari kiri) berkenan merasmikan PKCT diiringi Dr Wee Ka Siong (dua dari kanan) di Port Klang Cruise Terminal, Pulau Indah, Pelabuhan Klang. FOTO Faiz Anuar