MAHDZIR (tengah) bersama sebahagian rakan strategik selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara syarikat E Local Sdn Bhd Dengan Rakan Strategik Bagi Perlaksanaan Program DesaMall @ KPLB di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Stadium Darul Aman. FOTO Zuliaty Zulkiffli
MAHDZIR (tengah) bersama sebahagian rakan strategik selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara syarikat E Local Sdn Bhd Dengan Rakan Strategik Bagi Perlaksanaan Program DesaMall @ KPLB di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Stadium Darul Aman. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Usahawan luar bandar perlu mengambil peluang untuk meningkatkan jualan mereka dengan memasarkan produk secara dalam talian melalui platform e-dagang.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, usaha itu boleh dilakukan selepas kementeriannya bekerjasama dengan syarikat e Lokal Sdn Bhd melalui pelaksanaan Progam DesaMall@KPLB.

Menurutnya, kerjasama itu membabitkan bimbingan dan latihan kepada usahawan yang berada di luar bandar termasuk memasarkan produk secara dalam talian.

Katanya, syarikat itu juga membantu usahawan untuk bekerjasama dengan pemain industri yang relevan bagi merealisasikan kerjasama berkenaan.

"Dalam pada itu, kita berharap masyarakat luar bandar terutamanya usahawan termasuk yang belajar dalam bidang digital ini dapat memanfaatkan peluang daripada kerjasama ini.

"Syarikat e Lokal juga boleh mengetahui sasaran berapa ramai usahawan luar bandar yang mahu dilatih mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis Menandatangani Pelanjutan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama syarikat itu sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Kedah di Stadium Darul Aman, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Mahdzir turut menyaksikan MoU antara e Lokal bersama 11 syarikat rakan strategik bagi menjayakan DesaMall@KPLB.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 3:33 PM