PAK San tiba di jeti Kampung Laut selepas membawa penumpang ke jeti Tambatan Diraja, Kota Bharu. FOTO Siti Rohana Idris
PAK San tiba di jeti Kampung Laut selepas membawa penumpang ke jeti Tambatan Diraja, Kota Bharu. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris

Tumpat: Setiap hari bermula 8.30 pagi, kelibat bot penambang milik Hassan Ismail kelihatan berulang-alik di Sungai Kelantan untuk membawa penumpang.

Hassan yang mesra disapa Pak San, 62, memang dikenali penduduk sekitar Kampung Laut, di sini, kerana perkhidmatan bot penambangnya sudah bermula sejak lebih 45 tahun lalu.

Kini, walaupun bot yang mampu memuatkan 40 penumpang itu sudah berusia separuh abad, ia masih gagah meredah Sungai Kelantan membawa penduduk dan pelancong untuk datang ke Laman Warisan Kampung Laut.

Dengan mercu tanda Masjid Kampung Laut berusia lebih 400 tahun, lokasi itu dikatakan menerima pengunjung setiap hari sama ada menerusi jalan darat atau sungai.

Pak San berkata, hanya dia satu-satunya pemilik bot penambang yang masih beroperasi di jeti berhampiran Tambatan Diraja kerana perlu mendapatkan lesen daripada Jabatan Laut untuk membawa penumpang ke Kampung Laut dari Kota Bharu.

"Saya sudah memulakan perkhidmatan membawa penumpang ini sejak remaja dan majoriti penduduk yang tinggal berhampiran sungai memang mahir membawa bot atau perahu.

"Kerja ini saya lakukan sehingga hari ini kerana selain jasanya dapat membesarkan lima anak, jiwa saya yang terlalu dekat dengan sungai membuatkan tidak senang duduk jika tidak dapat mengemudi bot dalam sehari," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Pak San berkata, dia akan bangun pada 5 pagi setiap hari dan menunaikan solat Subuh di masjid sebelum mengambil sarapan lalu memulakan rutin hariannya.

Katanya, walaupun sering dinasihatkan anak agar berehat di rumah, tetapi secara berseloroh dia memberitahu badan akan sakit selain fikiran terganggu kerana sering teringat sungai jika duduk saja.

"Pekerjaan ini sudah sebati dengan jiwa dan pernah juga di saat demam, saya menggagahkan diri untuk turun ke sungai kerana cintakan rutin ini," katanya.

Dengan kadar tambang RM5 seorang, katanya, pendapatannya tidak menentu kerana tidak ramai menggunakan pengangkutan itu kecuali tiba waktu cuti umum.

"Sebenarnya saya tidak terlalu menetapkan harga tambang dan akan terima sahaja berapa yang penumpang beri, malah jika bayi atau kanak-kanak biasanya saya tidak mengenakan bayaran kerana rasa seronok apabila melihat mereka teruja menaiki bot sambil melihat pemandangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 2:31 PM