Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JTKSM, Mohd Asri Abdul Wahab ketika operasi menyerbu sebuah syarikat yang menempatkan asrama pekerja warga asing. FOTO ARKIB NSTP
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JTKSM, Mohd Asri Abdul Wahab ketika operasi menyerbu sebuah syarikat yang menempatkan asrama pekerja warga asing. FOTO ARKIB NSTP
Essa Abu Yamin

Muar: Sebanyak RM12.4 juta kompaun dikeluarkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) melalui 1,083 kertas siasatan kepada majikan yang gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JTKSM Mohd Asri Abdul Wahab berkata, sejak Februari 2020 sebanyak 48,579 majikan membabitkan sebanyak 183,391 buah penginapan diperiksa oleh pihak JTKSM.

"Kira-kira 40 peratus atau 19,250 majikan didapati gagal mematuhi Akta 446 berkenaan dan sebanyak 148 kertas siasatan dikenakan tindakan pendakwaan dengan membabitkan denda sebanyak RM1.2 juta.

"Antara alasan yang diberikan majikan adalah sukar mendapat kebenaran pembinaan penginapan dan permohonan dilakukan namun belum mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan Operasi Khas Penginapan dan Asrama Pekerja di Taman Perindustrian Bukit Bakri dekat sini, hari ini.

Mohd Asri berkata, pihak JTKSM sedia membantu majikan sekiranya mereka mempunyai masalah termasuk perkara berkenaan penginapan pekerja.

"Pihak majikan diminta tampil kepada JTKSM dan juga pihak berkuasa tempatan," katanya.

Beliau berkata, dalam operasi selama dua jam bermula 10.30 pagi itu membabitkan pemeriksaan terhadap 528 orang pekerja iaitu 357 di premis pertama dan 171 di premis kedua.

"JTKSM difahamkan pekerja di kedua-dua premis berkenaan disediakan penginapan atau asrama jenis binaan batu dan zink yang mana kita sudah melihat asrama terbabit disediakan oleh majikan.

"Penginapan pekerja berkenaan tidak mendapat perakuan penginapan daripada JTKSM dan majikan masih belum membuat sebarang permohonan," katanya.

Katanya, JTKSM masih melakukan siasatan terperinci terhadap majikan dan kawasan penginapan berkenaan, sekiranya mereka gagal mematuhi Akta 446 boleh dikenakan tindakan kompaun sehingga RM50,000 untuk setiap kesalahan.

Menurutnya, operasi berkenaan turut disertai Majlis Perbandaran Muar (MPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 3:27 PM