IDRUS menyampaikan pembentangan mengenai Keluarga Malaysia dan Cabaran Undang-Undang. FOTO Bernama
IDRUS menyampaikan pembentangan mengenai Keluarga Malaysia dan Cabaran Undang-Undang. FOTO Bernama
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Satu pilihan bagi menyelesaikan isu kerakyatan bagi kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh wanita tempatan yang berkahwin dengan warga asing adalah dengan meminda Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun berkata, pindaan bagi Jadual Kedua itu perlu dilakukan kerajaan.

"Ia perlu dibuat kerajaan, bukan saya (untuk mencadangkan pindaan Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan)," katanya kepada media selepas berucap pada Simposium Keluarga Malaysia: Pencapaian dan Harapan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan membentangkan cadangan pindaan kepada Jadual Kedua terbabit.

Idrus juga enggan menjawab soalan lain ditanya media berkait isu sama.

Pada 5 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan memutuskan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Susulan keputusan itu, peguam Datuk Gurdial Singh Nijar dilaporkan berkata, pihaknya akan memfailkan notis rayuan itu dalam tempoh 30 hari seperti yang ditetapkan Mahkamah Rayuan.

Terdahulu dalam ucapan di simposium berkenaan, Idrus berkata, kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, masih boleh memohon kerakyatan walaupun mereka tidak akan mendapatnya secara automatik mengikut undang-undang.

"Bagaimanapun, proses untuk mendapat kerakyatan ini akan mengambil masa. Namun ingin saya tekankan bahawa walaupun kanak-kanak ini tidak boleh mendapat kerakyatan secara automatik, tapi masih boleh mendapatkannya dengan membuat permohonan (dengan Kementerian Dalam Negeri)," katanya.

Selain itu Idrus berkata, beliau juga pernah ditanya mengenai dasar berkait kerakyatan yang diguna pakai negara serantau seperti Singapura, Brunei dan Indonesia.

"Di Singapura, seseorang boleh memiliki dua kewarganegaraan sehingga usia mencecah 21 tahun. Namun Malaysia tidak iktiraf dua warganegara.

"Bagi Indonesia pula, kedua-dua ibu dan bapa perlu menjadi warganegara sekiranya anak mereka yang lahir di luar negara mahu memiliki kerakyatan Indonesia, manakala di Brunei dasar yang digunakan sama seperti Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 4:59 PM