JENGKAUT digunakan untuk menimbus 10 kolam melombong emas haram di Hutan Simpan Ulu Jelai. FOTO Mohd Rafi Mamat.
JENGKAUT digunakan untuk menimbus 10 kolam melombong emas haram di Hutan Simpan Ulu Jelai. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Mohd Rafi Mamat


Lipis: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menimbus 10 kolam di kawasan perlombongan emas haram seluas dua hektar di Kompartmen 484 dan 485, Hutan Simpan Ulu Jelai, dekat sini, semalam.

Lapan daripadanya adalah kolam air manakala dua lagi mengandungi bahan kimia dipercayai digunakan sebagai penapis, selain untuk mengasingkan emas yang melekat pada pasir.

Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan (Zon Pahang Barat) JPNP, Shahril Mohamad berkata, pihaknya mengambil masa dua hari untuk menimbus kolam dan memindahkan pelbagai peralatan yang digunakan untuk melombong emas.

Menurutnya, sebelum ditimbus menggunakan jengkaut, air kolam dibuang terlebih dahulu secara berperingkat dengan membuat saluran dan parit kecil.

"Dalam operasi itu, bangunan seperti rumah kongsi tempat tinggal pekerja warga asing, dapur, tandas, bilik mandi, stor dan pondok yang menempatkan enjin janakuasa dirobohkan.

"Selain itu, pelbagai peralatan seperti dua unit enjin janakuasa elektrik berkuasa 2,500 kilowatt bersama sistem agihan kuasa menggunakan kabel elektrik bermutu tinggi, jengkaut dan lori turut disita," katanya di sini, hari ini.

Shahril berkata, pihaknya akan mencadangkan kawasan itu ditanam pokok kerana ia adalah rizab Central Forest Spine (CFS) atau laluan hidupan liar yang sudah dipulihkan dengan projek tanaman beberapa spesies pokok balak.

Selasa lalu, Unit Penguatkuasaan (Zon Pahang Barat) JPNP dan Unit Penguatkuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub dibantu Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dan polis membongkar kegiatan melombong emas secara haram dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai.

Untuk sampai ke kawasan terbabit perjalanan menggunakan pacuan empat roda sejauh 15 kilogram daripada Jalan Pos Betau-Cameroh Highlands.

Ketika serbuan dilakukan tempat berkenaan tiada berpenghuni, difahamkan terdapat kira-kira 20 individu dipercayai kebanyakan warga China berjaya melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 9:35 AM