DR Ameer (tengah) pada sambutan Ulang Tahun Ke-65 MYDIN, semalam. FOTO Azrul Edham
DR Ameer (tengah) pada sambutan Ulang Tahun Ke-65 MYDIN, semalam. FOTO Azrul Edham
Suliati Asri

Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) terus komited meringankan kos perbelanjaan rakyat dengan pelancaran Kempen MYDIN 65 Tahun Bersama Keluarga Malaysia dan Kempen Beli Barangan Malaysia.

Kempen dianjurkan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-65 MYDIN dan seiring bulan kemerdekaan Malaysia yang ke-65 tahun ini. Pengarah Urusannya, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, kempen membabitkan semua cawangan MYDIN bertujuan menawarkan pelbagai promosi barangan dan penjimatan berganda bagi membantu meringankan kos sara perbelanjaan masyarakat.

Menurutnya, kempen dilancarkan sebagai menghargai sokongan masyarakat terutama pelanggan setianya sepanjang ia beroperasi selama 65 tahun di negara ini.

"Sepanjang kempen ini berlangsung bermula 18 Ogos hingga 30 Oktober ini, pelbagai aktiviti dan promosi ditawarkan MYDIN kepada pelanggan termasuk penganjuran peraduan bersama rakan strategik kempen yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM1juta.

"Kempen ini juga mendapat kerjasama 84 jenama terdiri dari rakan strategik dan pembekal MYDIN antaranya Kementerian Perdagangan Dalam dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Kempen Beli Barangan Malaysia, MyDebit, Atome, PnG, Shopee, Boost dan banyak lagi," katanya.

Selain itu, Kempen Beli Barangan Malaysia diadakan dengan kerjasama KPDNHEP dilancar bertujuan menghidupkan kembali perniagaan tempatan khususnya Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, menerusi kempen itu MYDIN memberi peluang kepada usahawan baharu memperkenalkan produk mereka dan memasuki pasarannya melalui peraduan Pitch to Win menerusi kempen ini.

"Tiga pemenang dipilih melalui peraduan Pitch to Win ini bukan saja bakal memenangi pakej pemasaran bernilai lebih RM100,000, tetapi mereka berpeluang memasarkan produk mereka di seluruh cawangan MYDIN.

"MYDIN turut menganjurkan seminar keusahawanan oleh pakar industri perniagaan bagi memberi pendedahan kepada usahawan baharu dan bakal usahawan untuk menguruskan perniagaan serta memasarkan jenama mereka," katanya.

Sempena kempen ini juga, MYDIN menyediakan ruang khas untuk meletak barangan usahawan IKS, sekali gus mengetengahkan serta membolehkan pelanggan melihat kepelbagaian produk IKS yang boleh diperoleh di MYDIN.

Pada masa sama, MYDIN melancarkan laman sesawang mydin.my dan kad keahlian Meriah yang berwajah baru dengan pelbagai tawaran dan rebet istimewa dengan rakan dagang serta diskaun hebat setiap hari bagi ahli mendaftar.

Beliau berkata, istimewanya kad keahlian Meriah itu, pelanggan tidak hanya boleh mengumpul mata dari setiap nilai ringgit dibelanjakan, menebus baucar ganjaran, hadiah hari lahir semasa bulan kelahiran, tetapi pemegang kad boleh membeli pelbagai barangan pada harga menarik.

PELANGGAN mendaftar kad keahlian Meriah boleh menikmati rebat istimewa serta diskaun hebat. FOTO Aziah Azmee
PELANGGAN mendaftar kad keahlian Meriah boleh menikmati rebat istimewa serta diskaun hebat. FOTO Aziah Azmee

"Sempena sambutan ulang tahun ke-65 ini, sepanjang tiga hari bermula hari ini, 19 Ogos sehingga 21 Ogos ini, pemegang kad keahlian meriah boleh membeli pelbagai barangan terpilih dengan harga yang rendah dan istimewa.

"Antaranya gula dan roti Gardenia berharga hanya RM0.65, ubi kentang RM0.65 sekilogram, beras RM19.65, minyak masak RM29.65 dan banyak lagi barangan terpilih," katanya.

Tawaran menarik lain yang boleh dimanfaatkan pelanggan menerusi kempen ini termasuklah pulangan tunai sebanyak 10 peratus kepada pengguna e-dompet Boost bagi setiap pembelian mana-mana barangan jenama terpilih.

Dengan setiap pembelian RM40 melalui Atome pula, pelanggan memperoleh potongan RM15 untuk sekali transaksi.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama MyDebit turut menganjurkan Peraduan MyDebit Je dan Menang yang menawarkan hadiah keseluruhan RM300,000.

"Menariknya, jika sebelum ini peraduan MYDIN bersama MyDebit menawarkan hadiah berupa kereta, namun kali ini ia cukup berbeza.

"Untuk peraduan kali ini, 65 pemenang hadiah utama akan memenangi Supermarket Sweep bernilai RM1,000 manakala 650 pemenang hadiah bulanan akan memenangi baucar MYDIN bernilai RM300.

"Kita ada hadiah tambahan kepada 20 pemenang yang akan memenangi baucar MYDIN bernilai RM2,000," katanya.

Untuk menyertai Peraduan MyDebit Je dan Menang, pelanggan hanya perlu membuat pembelian bernilai RM100 dan ke atas dalam satu resit menggunakan kad ATM MyDebit.

Kemudian, ambil gambar resit pembayaran bank dengan jelas dan penuh seterusnya hantar penyertaan melalui Whatsapp ke +011151740268 atau scan kod QR yang tertera.

Sepanjang 65 tahun, MYDIN menjual banyak barangan tempatan terutama produk IKS sebagai langkah membantu meningkatkan ekonomi dan sumbangannya kepada masyarakat.

Ketika ditanya harapan sempena sambutan ulang tahun ke-65, Ameer berharap Kerajaan menerusi Kempen Beli Barangan Malaysia terus menyokong usahawan tempatan terutama IKS dengan mengutamakan menggunakan produk mereka apabila memberi bantuan kepada rakyat.

"Dengan menyokong produk tempatan terutama IKS, kita bukan saja membantu masyarakat, tetapi dalam masa sama menyokong industri IKS negara. Kita bantu mereka dalam keadaan sukar ini. Kalau bukan kita siapa lagi. Kita jaga kitalah," katanya.

"Terima kasih juga kepada rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong MYDIN selama ini," katanya.

Layari laman sesawang MYDIN Malaysia untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti dan kempen bakal berlangsung sehingga 30 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 6:30 AM