LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Insiden kemalangan kereta api di persimpangan bertingkat Jalan Lintas-Kepayan, dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, petang tadi dikenal pasti berpunca daripada kecuaian penjaga lintasan rata.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, berdasarkan laporan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS), tiada penjaga bertugas di pondok lintasan rata di persimpangan terbabit ketika kejadian pada 2.40 petang tadi.

Beliau berkata, ketiadaan penjaga yang sepatutnya bertugas di pondok lintasan rata terbabit menyebabkan siren amaran dan palang landasan kereta api tidak dapat diaktifkan ketika kereta api terbabit tiba di lintasan rata berkenaan.

"Apabila kereta api sampai di lintasan rata Jalan Lintas-Kepayan (persimpangan bertingkat KKIA), penjaga lintasan rata tidak berada di pondok dan mengakibatkan semua palang keselamatan serta siren gagal diaktifkan.

"Akibatnya kereta api bertembung dengan sebuah lori dan kereta pacuan empat roda milik Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS). Kedua-dua kenderaan ini bergerak dari Jalan Lintas-Kepayan menuju ke KKIA," katanya mengulas punca kemalangan berkenaan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 2.40 petang tadi, kereta api empat gerabak yang membawa lebih 70 penumpang dalam perjalanan dari Beaufort ke Kota Kinabalu dilaporkan merempuh kereta pacuan empat roda dan lori yang tidak menyedari ketibaan kereta api terbabit.

Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata, JKNS akan memastikan setiap maklumat seperti kebenaran untuk berlepas disampaikan dengan tepat dan jelas kepada penjaga lintasan rata serta memastikan setiap pengawal lintasan rata berada di pondok lintasan rata ketika menjalankan tugas.

"Selain itu, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di bahagian hadapan kepala kereta api akan dilakukan serta merta untuk memastikan rakaman kemalangan dapat diambil untuk merakam kehadiran setiap kakitangan yang bertugas ketika operasi perkhidmatan.

"Proses penubuhan Bahagian Pemantauan dan Koordinasi JKNS juga akan dipercepatkan untuk memastikan setiap prosedur operasi standard (SOP) dapat dikawal selia dengan lebih baik pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 9:54 PM