Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Persiapan seorang mekanik untuk mengadakan kenduri kesyukuran sempena pembukaan kedai menjual alat ganti miliknya malam ini bertukar dengan majlis tahlil apabila dia maut dalam kemalangan.

Mangsa, Mohamad Zulkifli Zakaria, 59, meninggal dunia di lokasi selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah pacuan empat roda dari arah belakang di persimpangan lampu isyarat Padang Layang, Jalan Salor - Pasir Mas, di sini kira-kira 1.25 tengah hari tadi.

Betis kanan mangsa juga putus dipercayai terkena tiang papan tanda akibat daripada rempuhan oleh kenderaan Toyota Hilux berkenaan.

Anak saudara mangsa Mohd Faisal Ariffin, 38, berkata, Mohamad Zulkifli dalam perjalanan ke premis menjual alat ganti yang ingin dibuka di Mulong, di sini untuk persiapan majlis kesyukuran malam ini.

"Pagi tadi dia datang berjumpa dengan saya untuk meminjam topi keledar dan sempat berbual malah tiada apa-apa perubahan dikesan.

"Saya menerima panggilan daripada seorang anak mangsa yang memaklumkan bapa saudara terbabit dalam kemalangan dan terus bergegas datang sebelum terkejut melihat mangsa yang berlumuran darah manakala betis kanannya putus," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.

Mohd Faisal berkata, bapa saudaranya yang berasal dari Kampung Kutan Hulu, Wakaf Bharu juga baharu mendirikan rumah tangga tiga bulan lalu dan agak teruja untuk menjalankan perniagaan alat gantinya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan menerima laporan mengenai kemalangan itu.

Beliau berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Tendong, Pasir Mas ingin menghala ke Jalan Kedai Mulong dan berhenti di lokasi kejadian ketika lampu isyarat merah.

"Apabila lampu bertukar hijau, mangsa meneruskan perjalanan dan tiba-tiba Hilux yang dipandu laju dari arah Kota Bharu menghala ke Pasir Mas yang dipercayai melanggar lampu merah terus merempuh mangsa.

"Mangsa tercampak ke kiri jalan raya kira-kira sejauh 20 meter dan meninggal dunia serta merta kerana kecederaan di bahagian dada dan kaki," katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 7:00 PM
MOHAMAD Zulkufli maut dirempuh Toyota Hilux di persimpangan lampu isyarat Padang Layang, Jalan Salor-Pasir Mas. FOTO Ihsan Pembaca
MOHAMAD Zulkufli maut dirempuh Toyota Hilux di persimpangan lampu isyarat Padang Layang, Jalan Salor-Pasir Mas. FOTO Ihsan Pembaca