NAJIB pada sidang media di Putrajaya.  FOTO Mohd Fadli Hamzah.
NAJIB pada sidang media di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Murni Wan Omar


Putrajaya: Datuk Seri Najib Razak tidak menunjukkan sebarang bukti bahawa beliau bertindak melindungi dan memelihara kepentingan SRC International Sdn Bhd (SRC International) seperti yang dipertanggungjawabkan terhadapnya.

Perkara itu dihujahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk V Sithambaram di Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini dalam rayuan akhir yang dikemukakan bekas perdana menteri itu.

Menurutnya, Najib bertindak untuk mencapai keinginan peribadinya dan menyebabkan kerugian kepada syarikat pelaburan itu.

"Najib memainkan pelbagai peranan sebagai perdana menteri, menteri kewangan, menteri kewangan diperbadankan dan penasihat emeritus.

"Niat jenayah perayu (Najib) dilaksanakan dengan memakai 'topi' berbeza dalam pentadbiran negara yang membolehkan beliau melakukan tujuh kesalahan yang didakwa di dalam SRC International.

"Keterangan yang dikemukakan dengan jelas menunjukkan bahawa perayu mengatur hal ehwal SRC, di mana beliau diamanahkan dengan aset dan hartanya.

"Ini berlaku apabila beliau memegang jawatan sebagai perdana menteri ketika penubuhan SRC. Beliau mengeluarkan arahan yang perlu diikuti oleh Ahli Lembaga Pengarah SRC.

"Peranan beliau diformalkan dengan menyandang gelaran Penasihat Emeritus untuk mengukuhkan kedudukan memerintah dalam SRC, yang membolehkan beliau mengarahkan Ahli Lembaga Pengarah SRC," katanya.

Sithambaram berkata, peranan kumulatif Najib dalam semua jawatan membuktikan bahawa beliau adalah minda yang mengawal di sebalik SRC International.

Sithambaram berkata demikian ketika berhujah dalam rayuan akhir Najib bagi mengetepikan sabitan dan hukuman 12 tahun serta denda RM210 juta kerana menyelewenng dana SRC International Sdn Bhd.

Tambah beliau, tindakan Najib mengeluarkan arahan sebagai pemegang saham SRC menunjukkan bahawa beliau mempunyai kawalan mutlak seolah-olah seperti 'Tok Dalang' kepada bonekanya iaitu Ahli Lembaga Pengarah SRC yang dilantiknya.

"Perdana Menteri dan Penasihat Emeritus mempunyai kuasa ke atas SRC dan pemegang saham tunggal pula ialah Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) iaitu perayu sendiri.

"Oleh itu hakim perbicaraan membuat kesimpulan yang betul dalam penemuannya bahawa Najib sememangnya ejen dan pengarah bayangan SRC," katanya.

Prosiding akan bersambung esok pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 6:10 PM