ROSOL (dua dari kiri) menyerahkan sijil pengisytiharan badan pelesenan kepada Ahmad Hussein (tiga dari kanan). FOTO ihsan KPDNHEP
ROSOL (dua dari kiri) menyerahkan sijil pengisytiharan badan pelesenan kepada Ahmad Hussein (tiga dari kanan). FOTO ihsan KPDNHEP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Reprographic Rights Centre Malaysia Berhad (MARC) hari ini secara rasmi diumum menjadi badan pengurusan kolektif yang diiktiraf oleh kerajaan untuk menjalankan aktiviti kutipan royalti mewakili penulis, penerbit dan pelukis di dalam industri percetakan dan penerbitan di Malaysia.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata, MARC berfungsi untuk memantau penggunaan semula karya cetak dan digital di seluruh negara.

Beliau berkata, ia termasuk di sekolah, universiti, perpustakaan dan pusat cetakan dengan kerjasama entiti kerajaan yang berkaitan seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) seterusnya mengutip royalti sebelum ia diagihkan kepada pemilik harta intelek berkenaan.

"MARC dianggotai bersama oleh Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), Persatuan Aktivis Komik Malaysia (PEKOMIK), dan Persatuan Buku Gambar Kanak-Kanak Malaysia (MYCPB).

"Penubuhan dan pengiktirafan MARC sebagai organisasi pengurusan kolektif antara lain akan memberi manfaat kepada ahli-ahlinya dalam menguruskan hak royalti di samping menjaga kebajikan mereka dalam industri percetakan dan penerbitan karya-karya sastera, seni, imej dan ilustrasi," katanya pada majlis penyerahan sijil pengisytiharannya di ibu negara hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah MyIPO, Abdul Haris Lakar dan Pengerusi merangkap Pengarah Urusan MARC, Ahmad Hussain Tajuddin.

Terdahulu, beliau turut merasmikan Seminar Kebangsaan bertajuk "Managing Copyright in Malaysia Education" yang antara lain mengumpulkan mereka yang terbabit dalam bidang pendidikan dan pengajian tinggi dalam membincangkan kepentingan hak harta intelek di dalam industri imej dan percetakan di Malaysia.

Rosol berkata, ia adalah medan dan peluang terbaik bagi peserta untuk mendapatkan maklumat berkaitan perkembangan terkini hak reprografik antarabangsa dan dalam negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 5:51 PM