GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Seramai 60 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 di Sabah memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 berbanding 72 calon pada 2020.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Tah Nia Jaman berkata, 58 sekolah daripada 98 sekolah kerajaan yang mendaftar untuk calon STPM pula mencapai kelulusan penuh 100 peratus bagi 2021.

Menurutnya, purata PNGK negeri ini bagi peperiksaan STPM 2021 menurun 0.01 mata iaitu 2.70 berbanding 2020 yang mencatatkan 2.71.

"Bagaimanapun, pencapaian calon STPM 2021 secara keseluruhannya dianggap masih sama dengan pencapaian calon STPM 2020 kerana perbezaan yang sangat kecil, iaitu hanya 0.01 mata.

"Perbezaan ini tidak menggambarkan sginifikan yang besar kepada pencapaian calon STPM 2021 berbanding calon STPM 2020," katanya.

Beliau berkata demikian pada pengumuman keputusan STPM 2021 hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 7,109 (98.60 peratus) calon lulus daripada 7,210 calon yang menduduki STPM pada 2021 berbanding 7,332 (98.96 peratus) lulus pada 2020, sekali gus menunjukkan penurunan 0.36 peratus.

"Daripada segi pencapaian, calon yang memperoleh keputusan 5P ialah 425 (5.89 peratus), 4P seramai 4,763 calon (66.06 peratus), 3P seramai 1,126 (15.62 peratus), 2P seramai 519 (7.20 peratus) dan 1P seramai 276 (3.83 peratus)," katanya.

Dalam pada itu, Tah Nia turut berkata, jurang perbezaan lulus STPM antara calon di bandar dan luar bandar bagi 2021 adalah sangat kecil iaitu 1.05 peratus.

"Sebanyak 98 sekolah kerajaan yang membabitkan 104 pusat peperiksaan terlibat dalam peperiksaan STPM 2021.

"Dua puluh pusat peperiksaan terletak di kawasan bandar dengan pencapaian lulus 98.45 peratus manakala 84 sekolah di luar bandar mencapai kelulusan 97.40 peratus," katanya.

Selain itu, beliau berkata, jumlah keseluruhan yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM 2021 adalah 7,539 calon.

"Daripada 7,539 calon yang mendaftar, 95.63 peratus calon (7,210 calon) hadir untuk menduduki peperiksaan pada ketiga-tiga semester STPM 2021," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 4:24 PM