Redzuan Muharam


Taiping: Tiga tahun Aisyah Abdul Aziz dan suami, Azrai Ramly menanti kehadiran anak lelaki dan doa mereka termakbul apabila dikurniakan bayi diberi nama Aariz Nuh pada 13 Februari lalu.

Kehadiran Aariz memberi sinar dalam kehidupan mereka namun yang terindah hanya sementara apabila anak bongsu mereka itu dijemput Ilahi pada 3 Ogos lalu ketika berusia lima bulan.

Aariz meninggal dunia pada jam 12.05 tengah hari selepas dihantar ke sebuah taska dan punca kematian masih belum diketahui kerana perlu menunggu laporan lengkap bedah siasat.

Lebih menyedihkan apabila Aariz pergi seminggu sebelum Azrai menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-34, 10 Ogos lalu.

Kisah meruntun hati itu mendapat perhatian netizen selepas Aisyah, 33, memuat naik video di TikTok miliknya, baru-baru ini.

Menerusi video itu, kelihatan Aisyah memangku Aariz yang dibaluti kain batik dalam keadaan tidak bernyawa.

Berkongsi kisah sebenar, Aisyah berkata, video itu dimuat naik sebagai kenangan dan untuk melepaskan rindu terhadap anaknya.

"Orang yang datang ziarah di rumah mungkin nampak saya kuat namun saya sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk meluahkan perasaan rindu pada anak.

"Jadi, perkongsian di TikTok itu sahaja cara untuk meluahkan apa yang terpendam kerana hendak meratap tidak boleh, nak menangis pula sampai bila?

"Tak sangka ramai yang menonton termasuk perkongsian video suami, malah ramai yang mendoakan dan itu (doa) membuatkan saya bangkit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menceritakan apa yang berlaku, Aisyah berkata, pagi hari kejadian, suaminya menghantar Aariz ke taska sebelum ke tempat kerja.

Katanya, pada jam 12.05 tengah hari, dia menerima panggilan daripada pihak taska memaklumkan anaknya berada di sebuah hospital swasta, di sini.

"Saya datang bersama suami dan setibanya di hospital, kami nampak doktor dan jururawat ada di sisi Aariz sebelum memberitahu yang anak kami sudah tiada.

"Saya terus peluk suami ketika itu dan sedih sangat hingga tertanya-tanya mengapa Aariz boleh meninggal dunia sedangkan saya sudah menghantarnya ke tempat yang terbaik tetapi tenang semula selepas mengenangkan Rasulullah yang juga diuji dengan kematian anak Baginda.

"Lagipun Aariz sudah pasti di syurga, jadi ia hadiah buat kami sekeluarga apabila tahu dia di tempat yang baik di sisi yang Esa," katanya.

Aisyah berkata, anak sulungnya, Afea Naela, 6, yang paling terkesan dengan pemergian Aariz.

"Sebelum adanya Aariz, saya sudah ada dua cahaya mata perempuan dan tidak kisah jika dapat lagi yang sama (anak perempuan).

"Bagaimanapun anak perempuan saya berdoa supaya dapat adik lelaki malah dia yang paling teruja sejak hari pertama Aariz dilahirkan.

"Sejak Aariz pergi, hampir setiap malam Afea menangis dan cium bantal adiknya kerana rindu," katanya.

Menurutnya, suaminya juga sedih kerana dia bekerja syif dan mengakui masih belum sempat meluangkan banyak masa bermain dengan Aariz berbanding dirinya yang menjaganya sendiri ketika dalam tempoh berpantang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 4:21 PM
GAMBAR kenangan Aisyah Abdul Aziz dan anak bongsunya, Aariz Nuh Azrai. FOTO Ihsan Aisyah Abdul Aziz
GAMBAR kenangan Aisyah Abdul Aziz dan anak bongsunya, Aariz Nuh Azrai. FOTO Ihsan Aisyah Abdul Aziz