Amirul Aizad Huszairi (kiri) dan Alvin Ko Vi Xue dinobat sebagai Pelajar Terbaik STPM SMK Sungai Ara selepas berjaya meraih keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan Nasional (PNGK) 4.00 yang diumumkan hari ini. FOTO Aminah Yusof
Amirul Aizad Huszairi (kiri) dan Alvin Ko Vi Xue dinobat sebagai Pelajar Terbaik STPM SMK Sungai Ara selepas berjaya meraih keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan Nasional (PNGK) 4.00 yang diumumkan hari ini. FOTO Aminah Yusof
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof


Bayan Lepas: Keputusan Amirul Aizad Huszairi, 20, menolak tawaran mengikuti Program Asasi Sains Hayat di sebuah universiti awam (UA) dan menyambung pengajian di Tingkatan Enam pernah dipersoalkan rakan sebayanya.

Namun, hari ini dia berjaya membuktikan pilihannya tepat apabila meraih Purata Nilai Gred Keseluruhan Nasional (PNGK) 4.00 sekali gus dinobat sebagai pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ara di sini, hari ini.

"Ketika itu kawan-kawan di kumpulan WhatsApp ramai kata STPM susah kalau tak dapat skor keputusan yang baik susah hendak diterima ke universiti dan ramai di antara mereka memilih melanjutkan pengajian di matrikulasi atau peringkat diploma di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

"Tetapi saya abaikan kata-kata itu dan rasa tingkatan enam lebih sesuai untuk saya kerana saya sangat berminat dengan mata pelajaran Sejarah dan ingin menjadi seorang guru," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Amirul Aizad berkata, dia mengamalkan konsep belajar berkumpulan bersama beberapa rakan sekelasnya sekurang-kurangnya selama sejam selepas waktu persekolahan termasuk mengadakan kuiz dan sesi soal jawab sesama mereka.

"Secara peribadi belajar berkumpulan lebih berkesan terutamanya subjek yang memerlukan banyak hafalan seperti Sejarah dan Pengajian Perniagaan selain itu saya konsisten mengulang kaji pelajaran selama tiga jam sehari di rumah," katanya.

Seorang lagi calon STPM 2021 yang memperoleh PNGK 4.00, Alvin Ko Vi Xue, 20, berkata dia pernah mendapat gred D+ untuk mata pelajaran Geografi dan tekad mengulang sebanyak dua kali untuk memperbaiki keputusan sehingga berjaya memperoleh A+ dalam subjek itu.

"Jujurnya pada peringkat awal saya kurang berminat dengan Geografi dan ia subjek pakej bersama tiga lagi mata pelajaran iaitu Pengajian Am, Ekonomi, Pengajian Perniagaan.

"Lama kelamaan, berkat galakan serta tunjuk ajar guru minat saya semakin bertambah dan hubungan saya dengan guru-guru juga amat baik kalau ada perkara yang tidak di fahami saya akan terus hubungi guru," katanya.

Anak sulung daripada dua beradik itu juga gemar menghabiskan masa belajar di Perpustakaan Digital Pulau Pinang di Jalan Masjid Negeri dekat sini biarpun kemudahan awam itu terletak agak jauh dari rumahnya.

"Saya suka dengan persekitaran di perpustakaan tersebut yang senyap dan membantu saya untuk lebih fokus dan saya juga biasa bangun seawal jam 5.30 pagi untuk belajar sebelum bersiap-siap ke sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 4:05 PM