LELAKI yang ditahan polis (depan, kiri)  kerana disyaki menyamar sebagai kerabat diraja Perak. FOTO Zuliaty Zulkiffli
LELAKI yang ditahan polis (depan, kiri) kerana disyaki menyamar sebagai kerabat diraja Perak. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis menahan lelaki yang disyaki cuba menyamar sebagai kerabat diraja Perak menggunakan kad pengenalan serta gelaran palsu.

Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, 5.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya turut merampas kad kuning dimiliki suspek yang menggunakan nama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Muda Perak.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat diterima, suspek dan dua wanita tidak dikenali datang ke Pejabat Tuanku Sultan Kedah dan memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuning, 11.30 pagi 28 Jun lalu.

"Kad itu tertera gelaran Raja Muda Perak beserta nombor telefon dan nama 'DYMM Raja Muda Perak Tuanku Tun Mamat Fadhil Duke Of Royal Malaysia British Bin DYTM Sheikh Tengku Lope Salleh Of Royal Irish Fusiller Princess Victoria.'

"Bagaimanapun hasil semakan dengan pihak istana di Perak mendapati, tiada kerabat diraja di negeri itu menggunakan nama serta nombor MyKad yang dinyatakan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Shukri berkata, berikutan itu, kakitangan Pejabat Tuanku Sultan Kedah membuat laporan polis kerana bimbang suspek menggunakan gelaran diraja dan menyamar sebagai kerabat diraja Perak.

"Setakat ini hanya seorang suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Suspek turut direman empat hari bermula hari ini, dengan usaha mengesan dua lagi individu bersama suspek sedang dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 1:59 PM