ALIF Satar & The Locos
ALIF Satar & The Locos
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Selagi hayat dikandung badan, sebagai anak Malaysia pastinya tanggal 31 Ogos setiap tahun akan terus diingati dan dirai sebagai tarikh keramat mengenang kemerdekaan negara yang tercinta ini.

Justeru, tahun ini sempena sambutan kemerdekaan ke-65 negara dengan tema 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama' pastinya ditunggu dengan penuh rasa teruja selepas dua tahun kita bergelut dengan penularan Covid-19 yang menyerang dunia.

Menariknya lagi sambutan kemerdekaan ini adalah lagu patriotik yang dihasilkan untuk terus menyuntik semangat cintakan Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang dengan keharmonian hidup pelbagai kaum.

Berbicara lagu patriotik ini, boleh dikatakan hanya segelintir penyanyi saja berpeluang mendapat penghargaan untuk mendendangkannya. Ia berikutan, lagu patriotik ini menuntut penyampaian yang sesuai dengan vokal, sekali gus sentiasa sedap didengar.

Antara penyanyi tanah air yang pernah mendapat peluang menyanyikan lagu patriotik ialah Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Roy, Faizal Tahir, Hafiz Suip, Jaclyn Victor, Bob Yusof, Bunkface serta terbaharu, Alif Satar & The Locos.

Alif berkata, dia amat berbesar hati kerana sudah kali ketiga mendapat peluang menyanyikan lagu tema Hari Kemerdekaan. Menurutnya, ia satu penghargaan yang besar dalam pencapaian peribadinya sebagai penggiat seni.

"Kali pertama, saya dapat peluang menyanyikan lagu untuk Hari Kemerdekaan iaitu Sehati Sejiwa pada 2015. Diikuti, lagu Malaysia Prihatin secara berempat dengan Allahyarham Siti Sarah, Syamel dan Aina Abdul pada 2020 lalu.

"Alhamdulillah, tahun ini saya sekali lagi diberi kepercayaan menyanyikan lagu tema merdeka iaitu Keluarga Malaysia Teguh Bersama yang turut disertai band saya, The Locos. Malah saya sejujurnya teruja untuk menyanyikannya secara live ketika sambutan kemerdekaan nanti," katanya.

Alif yang juga dikenali sebagai pelakon dan pengacara berkata, cabaran menyanyikan lagu patriotik atau kebangsaan ini adalah bagi memastikan ia boleh dinyanyikan bersama-sama dengan semua orang. Jelasnya, secara tak langsung style menyanyi itu kena berbeza.

Membesar dengan lagu patriotik nyanyian Allahyarham Sudirman seperti 31 Ogos dan Warisan, Dr Sam (Saya Anak Malaysia) serta Roy (Malaysia Kita Berjaya), Alif berkata, dia tidak menyangka kini berjaya menempatkan dirinya sebaris dengan mereka yang disifatkannya sebagai 'legenda'.

"Apa yang boleh dikatakan, saya sangat berbangga dan bersyukur dengan rezeki diperoleh ini. Lebih-lebih lagi, sekarang saya dapat tampil bersama band, The Locos. Ini penghargaan sangat bermakna buat kami. Saya memang tak akan sia-siakan peluang ini.

"Lagipun, bukan senang untuk kita menjadi pilihan. Di Malaysia ini, ada ramai penyanyi yang bagus-bagus vokal mereka dan saya yakin setiap orang pasti ada impian, ingin menyanyikan lagu patriotik untuk negara," katanya sudah membuat terbaik untuk lagu Keluarga Malaysia Teguh Bersama.

Sementara itu, Roy pula berkata, bakat nyanyiannya mula mendapat perhatian daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM) selepas menyertai pertandingan Merdekarama sekitar 1990-an lalu. Jelasnya, sejak itu dia sering dipanggil menyanyi bersama RTM.

"Malah, di suatu ketika saya diminta oleh Menteri Penerangan waktu itu, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat untuk menyanyikan lagu Sejahtera Malaysia.

Saya tak sangka lagu berkenaan, kekal disiarkan RTM selama lebih dua tahun.

"Bahkan, bermula dari situ, nama saya terus sinonim sebagai penyanyi lagu patriotik. Bagi saya, ia sesuatu yang istimewa kerana menyanyikan lagu kebangsaan ini kena ada jiwa dan bersemangat. Malah, lontaran vokalnya kena padu yang bagi saya, menjurus classical style," katanya.

Menurut Roy yang cukup popular dengan lagu Ratnaku, dia sangat berbangga dengan segala peluang yang pernah dimiliki itu.

Ujarnya, antara beberapa lagu patriotik lain nyanyiannya yang masih diingati ialah Malaysiaku Gemilang, Perpaduan Teras Kejayaan dan Wawasan 2020.

BOB Yusof. FOTO Arkib NSTP
BOB Yusof. FOTO Arkib NSTP

Bagi guru vokal dan penyanyi, Bob Yusof, dia mendapat rezeki menyanyikan lagu tema Hari Kemerdekaan yang ke-57 berjudul Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta, ciptaan Sharon Paul dan lirik ditulis Ahmad Fedtri Yahya pada 2014 lalu. Katanya, ia sesuatu yang tidak diduga.

"Ketika itu, Sharon dijemput menyertai pertandingan mencipta lagu Hari Kebangsaan dan dia dapat ilham cipta lagu ini last minute serta penyanyi yang dipilihnya memang saya. Namun cabarannya pada saya pula ialah lagu Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta, hanya dirakam dalam masa dua hari saja.

"Sebagai penyanyi, tak dinafikan saya kurang persediaan ketika itu, tetapi sudah membuat sebaik yang mungkin. Syukur alhamdulillah, seminggu selepas itu, kami dapat keputusan daripada RTM memaklumkan lagu ini menjadi juara. Sekali gus, ia dipilih menjadi lagu tema merdeka yang ke-57 itu.

"Pada saya, kekuatan lagu Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta terletak pada liriknya. Jujur saya katakan, ia lagu suntikan semangat yang liriknya agak deep. Walaupun melodi seakan-akan slow, tapi mesej semangat dan perjuangan disampaikan tetap sampai kepada masyarakat," katanya.

Bob yang juga bekas bintang Akademi Fatasia musim kedua (AF2) berkata, dia memang terharu apabila memperoleh peluang yang dirasakannya sangat bermakna itu. Apatah lagi, ia boleh dianggap sebagai karya yang magic kerana terhasil pada saat akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 7:00 AM