GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Pembantu rumah warga Indonesia direman selama empat hari bermula hari ini selepas dipercayai menganiaya dua anak majikannya pada Sabtu lalu.

Kejadian yang dipercayai berlaku di sebuah taman perumahan di daerah ini, disedari ibu kepada dua mangsa pada 3 petang.

Dalam kejadian itu, wanita berusia 48 tahun dikatakan merentap dengan kuat tangan kiri seorang mangsa dipercayai sehingga terkehel.

Malah, wanita itu juga didakwa menyiram air ke muka mangsa secara berterusan.

Perbuatan pembantu rumah terbabit terhadap mangsa yang dipercayai berusia tiga tahun dan satu tahun lapan bulan itu terbongkar selepas ibu kepada mangsa melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat pada keesokan harinya untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 6:16 PM