Sultan Mizan Zainal Abidin bersama Sultanah Nur Zahirah. FOTO BERNAMA
Sultan Mizan Zainal Abidin bersama Sultanah Nur Zahirah. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Terengganu: Sebanyak 91 individu dikurniakan Darjah kebesaran, Bintang dan Pingat oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Bukit Chendering, dekat sini, hari ini.

Pengurniaan berkenaan bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Hari Keputeraan baginda.

Turut berangkat pada istiadat pengurniaan itu ialah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mendahului senarai ialah Duta Besar Malaysia ke Perancis Datuk Mohd Zamruni Khalid yang dianugerahkan darjah Datuk Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (D.S.M.Z) membawa gelaran Datuk.

Selain itu, 18 individu menerima darjah kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) yang turut membawa gelaran Datuk termasuk dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Satiful Bahari Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak.

Pada istiadat berkenaan, Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan pingat Setia Sultan Mizan (S.M.Z) kepada 25 penerima; Setia Mahkota Terengganu (S.M.T) (17 penerima); Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin (A.M.Z) (empat penerima); dan Ahli Mahkota Terengganu (A.M.T) (26 penerima).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 3:27 PM