NURAINA pada majlis pelancaran buku Tuesdays with Bapak. FOTO Rohanis Shukri
NURAINA pada majlis pelancaran buku Tuesdays with Bapak. FOTO Rohanis Shukri
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Bekas pengarang urusan akhbar New Straits Times (NST) Datuk Nuraina Samad tampil dengan naskhah 'Tuesdays with Bapak' yang menceritakan sisi hidup bapanya yang juga tokoh wartawan terkenal, Tan Sri A Samad Ismail.

Lebih menarik, Nuraina yang juga anak keenam daripada 10 beradik kepada wartawan lebih dikenali sebagai Pak Samad itu berkata, mereka sekeluarga hanya dibenarkan melawat setiap Selasa oleh pihak berkuasa ketika bapanya ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 70-an.

"Setiap kali itu juga, jadual kerja saya sebagai wartawan dikosongkan setiap Selasa bagi memberi peluang kepada saya melawat bapak.

"Buku ini adalah hasil kompilasi daripada blog saya dan dijadikan buku selepas mendapat permintaan yang tinggi daripada rakan yang mahu mengetahui sisi sebenar seorang lelaki bernama Pak Samad," katanya.

Beliau ditemui ketika perasmian buku 'Tuesdays with Bapak' di Bukit Kiara, hari ini.

Nuraina berkata, buku itu bermula dengan keluarganya menghadapi hari hitam apabila Pak Samad ditahan di bawah ISA.

"Selepas ditahan, keluarga tidak dibenarkan berjumpa dengannya sehingga satu surat rayuan dikarang Seniman Negara, Datuk Dr Usman Awang yang juga sahabat kepada arwah bapak dan dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya.

Menurutnya, dalam buku setebal 380 muka surat itu juga, dia menceritakan pengalaman pahit dilalui, bagaimana Pak Samad membesar dan membesarkan semua anaknya di Singapura dan Malaysia.

"Bapak pernah bekerja di akhbar Utusan Melayu dan Berita Malai di Singapura ketika pemerintahan British dan Jepun.

"Dia dipenjarakan ketika British mengambil alih tampuk pemerintahan negara selepas perang," katanya.

Dalam buku itu juga, Nuraina berkongsi kisah peribadi dan pengalaman mengenai Pak Samad yang mencuit hati seperti suka memasak dan mengemas rumah hasil daripada dia ditahan oleh tiga kerajaan berbeza iaitu British, Singapura dan Malaysia.

"Semua ini diceritakan saya dengan pandangan di belakang tabir, bagaimana sejarah dilakar, anak yang lahir ketika kemerdekaan dan membesar di Malaysia," katanya.

Tuesdays with Bapak ditulis dalam bahasa Inggeris dan dijual pada harga RM49.50 di beberapa kedai buku terpilih.

Pada 1976, A Samad Ismail dianugerahkan 'Hadiah Pejuang Sastera' oleh kerajaan Malaysia tetapi ditahan semula di bawah ISA oleh Menteri Dalam Negeri , Tan Sri Ghazali Shafie.

Pada 1988 beliau dianugerahkan 'Tokoh Wartawan Negara' anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Bagaimanapun, pada 31 Ogos 2008 tokoh wartawan itu dimasukkan ke Pusat Perubatan Pantai Kuala Lumpur akibat jangkitan paru-paru dan meninggal dunia pada 4 September 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 1:26 PM