LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: Waris warga emas yang meninggal dunia selepas dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Rancangan Pinggir, Ayer Hitam, di sini, sudah dimaklumkan mengenai prosedur bedah siasat dan penyimpanan jenazah ketika proses pengecaman pada 5 Ogos lalu.

Pengarah Hospital Teluk Intan (HTI), Dr Khairul Baharin Mohd Baharuddin berkata, sebelum itu pihak Unit Forensik hospital menerima jenazah yang tiada identiti dan tidak dikenal pasti daripada polis pada 4.50 petang, 28 Julai lalu.

Menurutnya, permintaan pemeriksaan mayat (Pol.61) dikeluarkan oleh polis selaras Akta 593 Kanun Acara Jenayah Bahagian Lapan (8) Bab 32 Perkara 329 sehingga Perkara 332.

"Selaras dengan permintaan itu, bedah siasat dilakukan pada 11 pagi, 29 Julai lalu oleh Pakar Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

"Bagaimanapun, pada ketika itu identiti mayat tidak dikenal pasti dan jenazah disimpan di Unit Forensik sementara menunggu siasatan dan arahan selanjutnya daripada polis," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis membawa waris untuk proses pengecaman di Unit Forensik HTI pada 9 pagi, 5 Ogos lalu.

"Prosedur bedah siasat dan penyimpanan jenazah sudah dimaklumkan secara lisan kepada waris yang hadir semasa proses pengecaman.

"Seterusnya, jenazah diserahkan kepada waris selepas pelepasan yang dikeluarkan oleh polis pada 11 pagi, 5 Ogos lalu. Proses berkenaan adalah mengikut Polisi Perkhidmatan Perubatan Forensik KKM 2012," katanya.

Beliau berkata, pihak HTI turut mengucapkan takziah kepada waris arwah.

Sebelum ini sebuah akhbar melaporkan, anak lelaki warga emas itu kesal apabila penemuan mayat bapa mereka lewat diketahui sedangkan berita kehilangannya dilaporkan kepada polis dan dihebahkan dalam akhbar.

Identiti warga emas itu hanya dapat disahkan oleh anaknya, Noorsam Mairan, 42, Jumaat lalu selepas seminggu mayat berada di HTI.

Terdahulu media melaporkan, Mairan Basir, 66, keluar dari rumah pada 23 Julai lalu dengan menunggang motosikal Honda Wave bernombor pendaftaran DAR 1761 berwarna biru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 7:06 PM