GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Malaysia dijangka akan memiliki polisi pelupusan kenderaan hujung hayat (ELV) dalam tempoh tiga tahun bagi memanfaatkan komponen kenderaan usang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, Malaysia kini memiliki 33 juta kenderaan berdaftar berpotensi untuk tersadai apabila tidak digunakan kelak.

Menurutnya, lambakan kenderaan usang ini berlaku kerana masih belum ada polisi membolehkan tindakan sewajarnya diambil dengan penekanan diberikan kepada kaedah pelupusan yang tepat.

"Usaha proaktif perlu diambil bagi mencapai ekosistem hijau yang kondusif seiring dengan matlamat Malaysia Lestari 2030.

"Pelaksanaannya memerlukan penelitian yang mendalam maka semua pihak perlu memainkan peranan dari segi advokasi dan berganding bahu bagi mencari kaedah terbaik menangani isu ini khususnya dalam kalangan penyelidik dan cendekiawan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Persatuan Kitar Semula Automotif Malaysia (MAARA), di Kampus UTM Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UTM Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail dan Presiden MAARA Datuk Khan Mohd Akram Khan.

Dr Adham berkata, komponen kenderaan usang ini boleh menjana pendapatan yang dianggarkan bernilai RM10 bilion jika dikitar semula untuk menghasilkan produk lain.

DR Adham Baba. FOTO Genes Gulitah
DR Adham Baba. FOTO Genes Gulitah

Beliau berkata, Konsortium Penyelidikan ELV membabitkan kerjasama tiga universiti tempatan iaitu UTM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi mencari penyelesaian tuntas kepada permasalahan ini.

"Konsortium Penyelidikan ELV turut menjalin kerjasama dengan pemain industri ELV dan pembuatan semula kenderaan dalam ekosistem sedia ada.

"Hasil kajian yang diperoleh seterusnya akan menjadi pemangkin pemerkasaan industri pembuatan dan kitar semula melalui pelan tindakan, rangka kerja, panduan serta rujukan selaras dengan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020," katanya.

Katanya, Mosti yakin teknologi dan inovasi yang diusahakan menerusi penyelidikan ini mampu memberi manfaat yang besar kepada pelbagai pihak seperti kerajaan tempatan, pemain industri dan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 1:07 PM