Balqis Jazimah Zahari


Kampar: Polis sudah mengambil keterangan suspek lelaki yang disyaki terbabit dalam kes mencabul seorang kerani di sebuah rumah di Taman Sentosa di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, lelaki itu dikenalpasti sebagai anggota polis sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes terbabit.

"Kita sudah mengenalpasti suspek dan juga mengambil keterangan suspek semalam.

"Suspek dalam kes diambil keterangan bagi siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan dalam masa yang sama dari sudut tatatertib juga akan disiasat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohamad Nazri berkata, bagaimanapun suspek tidak ditahan dan siasatan lanjut juga sedang dilakukan terhadap mangsa.

"Pada ketika ini kita sedang melakukan siasatan lanjut terhadap mangsa wanita berkenaan.

"Kita mahu menjalankan siasatan lebih terperinci berhubung dakwaan dan beberapa perkara," katanya.

Semalam media melaporkan, seorang kerani mendakwa dicabul dipercayai anggota polis yang dikenali melalui laman sosial di sebuah rumah di Taman Sentosa di sini, Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 9:52 PM