GAMBAR  hiasan
GAMBAR hiasan
Redzuan Muharam

Shah Alam: Sebanyak 15.8 peratus atau 42,772 kenderaan berat gagal mematuhi piawaian pemeriksaan yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ia hasil pemeriksaan secara berkala Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) terhadap sejumlah 270,385 kenderaan berat.

Malah 4.6 peratus atau 12,339 kenderaan berat, gagal dalam ujian kecekapan brek.

Berikutan itu, Puspakom menyambut baik cadangan JPJ untuk menyemak semula kaedah pemeriksaan kenderaan berat membabitkan tahap keselamatan yang tinggi seperti pemeriksaan kecekapan brek, keselamatan tayar dan komponen lain.

"Kaedah pemeriksaan sedia ada pada masa kini dibuat sebagaimana ditetapkan di bawah Kaedah- kaedah Kenderaan Motor (Pemeriksaan Berkala, Kelengkapan dan Standard Pemeriksaan) 1995.

"Di bawah cadangan itu (cadangan menyemak semula), kaedah pemeriksaan kenderaan boleh diselaraskan oleh Puspakom apabila diputuskan oleh JPJ kelak dan ia tidak membabitkan perubahan kepada peralatan pemeriksaan sedia ada.

"Berbekalkan pengalaman yang ada, Puspakom akan memberi kerjasama sepenuhnya terhadap cadangan berkenaan untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan sesebuah kenderaan berat semasa berada di atas jalan raya," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, mana-mana kenderaan yang gagal mematuhi piawaian perlu menjalani pemeriksaan semula sebelum dapat dilesenkan oleh JPJ.

Puspakom mengalukan usaha JPJ untuk meningkatkan kekerapan pemantauan terhadap operasi pemeriksaan kenderaan yang dijalankan di semua 54 pusat pemeriksaannya di seluruh negara.

"Buat masa ini, pemantauan oleh pihak JPJ adalah dilakukan secara berkala dan hasilnya, tindakan susulan yang bersesuaian diambil serta merta oleh Puspakom.

"Tahun lalu, JPJ menjalankan 741 pemantauan terhadap pusat pemeriksaan Puspakom di seluruh negara.

"Pemantauan oleh JPJ ke atas Puspakom adalah selaras dengan Perjanjian Konsesi Pemeriksaan Kenderaan Puspakom dengan kerajaan di mana tahap pencapaian Petunjuk Indeks Prestasi (KPI) perlu dipatuhi yang merangkumi aspek penyampaian perkhidmatan yang baik kepada orang ramai, keselamatan kenderaan di jalan raya dan model perkhidmatan yang mampan," katanya.

Katanya, usaha untuk menyemak semula tahap keselamatan kenderaan berat perlulah seiring dengan langkah pencegahan kemalangan jalan raya yang lain seperti sikap pemandu dan pemilik kenderaan untuk menjaga dan menyelenggara kenderaan supaya sentiasa berada dalam keadaan yang selamat.

"Pemeriksaan kenderaan secara berkala yang dijalankan oleh Puspakom adalah sebagai langkah pencegahan awal dalam mengurangkan jumlah kenderaan yang tidak selamat berada diatas jalan raya.

"Memandangkan pemeriksaan yang dijalankan oleh Puspakom hanyalah pada setiap enam bulan, jadi menjadi tanggungjawab pemilik dan pemandu kenderaan berat dalam tempoh berkenaan untuk memastikan setiap kenderaan milik mereka adalah selamat sebelum memulakan sebarang perjalanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 8:21 PM