ZAHIDI ketika menghadiri Persidangan Dewan Negara di Parlimen. FOTO BERNAMA
ZAHIDI ketika menghadiri Persidangan Dewan Negara di Parlimen. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan bersama institusi keagamaan akan meneruskan usaha mengekang elemen gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dipromosikan melalui filem atau media sosial seperti TikTok di negara ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, kerajaan sentiasa memantau dan tegas dalam mengambil tindakan terhadap pihak yang mempromosikan elemen terbabit.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kerajaan sukar untuk mengawal kandungan siaran menerusi platform penstriman dalam talian Over-the-Top (OTT) yang berpangkalan di luar negara seperti Netflix.

"Peruntukan perundangan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) tidak meliputi skop tapisan kandungan (censorship) dan jelas dinyatakan dalam Seksyen 3(3) Akta 588.

"Tambahan pula, perkhidmatan OTT seperti Netflix tidak seperti perkhidmatan penyiaran awam dan swasta dalam negara yang tertakluk pada rangka kerja pelesenan dan tapisan di bawah perundangan sedia ada," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Ahmad Yahaya yang ingin tahu pendirian kementerian mengenai cadangan mengawal kandungan program disiarkan di platform penstriman seperti Netflix bagi mengelakkan budaya tidak sihat terus menular dalam masyarakat.

Zahidi berkata, penstriman kandungan di mana-mana platform adalah pilihan pengguna termasuklah langganan kepada perkhidmatan berkenaan, justeru pengguna digalakkan melakukan kawalan kendiri selain ibu bapa atau penjaga untuk meletakkan pin akses bagi setiap profil penonton isi rumah untuk memastikan anak di bawah umur tidak dapat mengakses semua kandungan tidak sesuai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 12:52 PM