Asrol Awang


Kuantan: Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus yang memberi tumpuan kepada pelancongan, pertanian, mineral, perkayuan dan perkhidmatan dijangka mampu memastikan pembangunan seimbang membabitkan setiap daerah di negeri ini.

Justeru, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) memberi jaminan akan mengenal pasti projek yang bersesuaian untuk dibawa ke Pahang Barat.

Katanya, Pahang Barat Plus menawarkan potensi yang luas dan kementeriannya akan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk melihat insentif yang sesuai untuk membantu menarik pelabur.

"Matlamatnya adalah untuk mengimbangi pembangunan di 11 daerah di Pahang dan tidak hanya tertumpu kepada satu kawasan sahaja.

"Langkah untuk membangunkan Pahang Barat Plus adalah selaras dengan dasar ekonomi negara," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, di sini, hari ini.

Mesyuarat itu bagi menyelaraskan dasar dan inisiatif antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kerajaan Pahang supaya selari dengan dasar serta aspirasi Kerajaan Persekutuan.

Ia dalam usaha memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpilih, memperkukuhkan prestasi perdagangan antarabangsa dan memastikan pembangunan industri secara mampan.

Azmin berkata, Wilayah Pahang Barat Plus antara lapan kertas cadangan yang dipersetujui Kerajaan Persetujuan dan Kerajaan Pahang dalam meningkatkan prestasi perdagangan dan pelaburan di negara ini.

"Antara kertas lain yang dipersetujui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) ialah pembinaan Kuantan Aerocity di Gebeng dan kelonggaran kepada pelabur industri kertas," katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kewujudan Pahang Barat Plus akan mempercepatkan pembangunan, ekonomi dan pendapatan per kapita penduduk.

"Kita harap kewujudan Pahang Barat Plus tidak ketinggalan berbanding Pahang Timur.

"Oleh itu, kerajaan Pahang akan menyediakan pelbagai insentif menarik untuk menarik pelabur ke Pahang Barat membabitkan Bera, Jerantut, Bentong, Cameron Highlands, Raub dan Lipis," katanya.

Mohamed Azmin bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Pahang 2022 Antara MITI Dengan Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur, di Hotel Zenith. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Mohamed Azmin bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Pahang 2022 Antara MITI Dengan Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur, di Hotel Zenith. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 5:46 PM