FOTO Ihsan TLDM
FOTO Ihsan TLDM
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memperkasakan keupayaan kebolehoperasian bersama dalam melaksanakan penguatkuasakan undang-undang dan menjaga keselamatan maritim negara melalui Eksesais Samudera Perkasa Barat Siri 5/22.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat berkata, eksesais bersepadu itu bermula Ahad lalu hingga Jumaat ini dengan bertemakan 'Penguatkuasaan Undang-Undang Maritim, CARILAMAT dan Pengenalan Peperangan Di Laut'.

Menurutnya, objektif utama eksesais pada kali ini adalah bagi meningkatkan kebolehoperasian antara TLDM dan APMM dalam melaksanakan operasi secara bersama ketika waktu aman mahupun sewaktu konflik.

"Tema kali ini adalah berbeza berbanding sebelum ini kerana terdapat elemen kepada peperangan asimetrik dan konvensional selain aspek navigasi dan ilmu kelautan serta carilamat (search and rescue) yang masih dikekalkan.

"Inisiatif itu diyakini akan memperkukuhkan kesefahaman dan ketersediaan kedua-dua agensi melalui usahasama bersepadu bagi mematahkan sebarang niat jahat unsur-unsur yang melanggar undang-undang atau menceroboh perairan negara," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Majlis pembukaan eksesais berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Panglima Armada Barat, Laksamana Pertama Farizal Myeor di Kapal Diraja (KD) Sri Indera Sakti, Pangkalan TLDM Lumut.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Pertama (M) V Pannir Selvan.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua agensi mempamerkan komitmen yang tinggi bagi menjayakan eksesais ini menerusi pembabitan aset seperti KD Sri Indera Sakti, KD Laksamana Tan Pusmah dan pesawat Fennec TLDM.

Katanya, aset APMM pula membabitkan Kapal Maritim (KM) Bagan Datuk, KM Nyalau serta pesawat AW139.

"Eksesais itu juga turut menyaksikan kehadiran aset sokongan daripada kedua-dua agensi seperti Fast Combat Boat dan Pasukan Khas Laut (PASKAL) TLDM serta Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia.

"TLDM dan APMM akan terus komited memanfaatkan peluang beroperasi bersama dalam usaha memacu ketersediaan aset dan kompetensi warga untuk melindungi dan mempertahankan kepentingan Zon Maritim Malaysia pada setiap masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 9:30 AM