DR Norhayati berucap menerusi rakaman video pada Persidangan Kesihatan Awam Asia Pasifik Ke-7 di Shah Alam . FOTO Faiz Anuar
DR Norhayati berucap menerusi rakaman video pada Persidangan Kesihatan Awam Asia Pasifik Ke-7 di Shah Alam . FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Situasi infodemik memerlukan pengurusan analisis yang sistematik bagi mengurangkan kesannya terhadap tingkahlaku orang awam semasa darurat kesihatan.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, infodemik adalah situasi di mana terlampau banyak maklumat termasuk maklumat palsu dan mengelirukan semasa wabak penyakit berlaku.

"Ini boleh mengakibatkan kekeliruan dan tingkah laku berisiko yang boleh membahayakan kesihatan selain ketidakpercayaan terhadap pihak berkuasa kesihatan serta melemahkan tindak balas kesihatan awam.

"Infodemik boleh menyebabkan wabak berpanjangan apabila orang tidak pasti apa yang perlu dilakukan untuk melindungi kesihatan mereka dan orang di sekeliling mereka.

"Dengan perkembangan pendigitalan yang semakin meningkat, maklumat tersebar dengan lebih pantas dan ini menyebabkan mesej berbahaya diperolehi dengan cepat," katanya melalui tayangan video pada Persidangan Kesihatan Awam Asia Pasifik ke 7 di Double Tree by Hilton, di i-City di sini, tadi.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

Dr Norhayati berkata, situasi ini juga jelas dapat dilihat semasa pandemik Covid-19 kesan dari maklumat sekeliling.

"Itu adalah infodemik media sosial pertama sejak media sosial menjadi sumber utama maklumat dan saluran untuk komunikasi dan interaksi.

"Adalah lebih baik memikirkan bahawa maklumat palsu dan salah tersebar melalui media sosia sama seperti virus," katanya.

Beliau berkata, pengurusan infodemik bertujuan memastikan empat amalan kesihatan dipraktikkan.

"Ini termasuk mendengar kerisauan orang awam, menggalakkan pemahaman tentang risiko dan nasihat pakar kesihatan, membina daya tahan terhadap maklumat palsu serta memperkasakan komuniti untuk mengambil tindakan positif," katanya.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/08/867546/apa-nak-jadi-tunggang-...

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 4:04 PM