GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nas Norziela Nasbah

Kuala Lumpur: Empat lagi kematian akibat Covid-19 direkodkan di seluruh negara semalam, dengan angka jangkitan harian sebanyak 4,271 kes termasuk tiga kes import berbanding 4,860 kes harian sebelumnya.

Daripada jumlah kematian itu, empat kes direkodkan masing-masing di Melaka, Terengganu, Sabah, dan Perak.

Laman sesawang covidnow, melaporkan 1,286 kes aktif dengan 96.8 peratus daripada 47,014 kes aktif sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 34 pesakit dicatatkan memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP), manakala 62 pesakit kini berada di unit rawatan rapi (ICU).

Jumlah pesakit yang dimasukkan ke wad adalah seramai 514 orang, setakat semalam.

Kedah terus mencatatkan jumlah pesakit yang berada di ICU tertinggi dengan 78.9 peratus diikuti Selangor (77.9 peratus); Johor (75 peratus); Lembah Klang (74.9 peratus); Labuan (71.4 peratus); Kelantan (70.3 peratus); Putrajaya (70 peratus); Kuala Lumpur (67.4 peratus); Sabah (65.9 peratus); Negeri Sembilan (65.3 peratus); Perak (59.4 peratus); Melaka (56.1 peratus); Pahang (55.4 peratus) dan Sarawak (52.1 peratus).

Sementara itu, tiga negeri mencatatkan penggunaan katil ICU di bawah 50 peratus iaitu Pulau Pinang dengan 47.5 peratus, Terengganu (45.2 peratus) dan Perlis (36.8 peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 11:50 AM