Meski keadaan pasaran yang tidak stabil BloomThis berjaya mencapai pertumbuhan yang menakjubkan dari tahun ke tahun. - FOTO Endeavor
Meski keadaan pasaran yang tidak stabil BloomThis berjaya mencapai pertumbuhan yang menakjubkan dari tahun ke tahun. - FOTO Endeavor
Nur Amirah Abd Rani

PASCA pandemik Covid-19 meninggalkan impak yang cukup besar terutama bagi entiti perniagaan dan golongan usahawan. 

Namun, BloomThis peneraju pasaran dalam industri jualan bunga dan hadiah berasaskan permintaan dalam talian, melihat krisis ini sebagai peluang untuk mengorak langkah membentuk semula kecekapan merentas rantaian nilai e-dagang. 

Melihat kepada momentum pertumbuhan pada 2022, BloomThis menyasarkan untuk melaksanakan pelan tindakan operasi mereka di beberapa bandar Malaysia sebelum berkembang ke peringkat global melalui kelulusan Panel Pemilihan Tempatan (LSP) Endeavour Malaysia. 

Ditubuhkan pada 2015, BloomThis yang diasaskan oleh Giden Lim dan Penny Choo memulakan perniagaan apabila melihat banyak jurang yang wujud dalam industri bunga. 

Antara inovasi yang dibawa oleh BloomThis adalah perubahan dari segi kualiti produk, gubahan bunga yang kreatif, peningkatan pembelian dan penghantaran serta tambah baik pengalaman pelanggan. 

BloomThis berjaya memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan dan mengembangkan produk dan perkhidmatan mereka selain daripada bunga, dengan penghantaran atas permintaan dalam masa empat jam. 

Melalui program ScaleUp Cohort 2 Endeavour yang dilancarkan pada 2021, BloomThis berjaya menjadi syarikat pertama yang menamatkan program tersebut ke dalam trek rasmi Usahawan Endeavour sebagai calon LSP. 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif BloomThis, Giden Lim berkata melalui program ScaleUp, mereka menerima bimbingan dari mentor yang hebat, usahawan lain yang sanggup meluangkan masa untuk membimbing peserta mengharungi pelbagai cabaran. 

Menurut Ketua Mentor Endeavour Gaurav Bhasin, meski keadaan pasaran yang tidak stabil BloomThis berjaya mencapai pertumbuhan yang menakjubkan dari tahun ke tahun kerana keupayaan mereka dalam membina jenama dan platform teknologi yang menyatukan rantaian nilai dalam menawarkan pengalaman pelanggan yang memberangsangkan. 

BloomThis bukan sahaja menunjukkan pertumbuhan yang tinggi, tetapi juga telah mendapat daya tarikan, peningkatan pemerolehan pelanggan dan memenangi pelbagai anugerah sepanjang perjalanan penskalaan mereka.

Panel Pemilihan Tempatan ialah satu sesi pemilihan berdasarkan merit yang ketat bagi memilih peserta yang terbaik untuk memberi sokongan kepada mereka mencapai impian.  

Image(Dari kiri) Gaurav Bhasin, See Wai Hun dan Loi Liang Tok

Antara panelis yang mengadili pemilihan merit adalah Pegawai Strategi Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Kumpulan Carousell Gaurav Bhasin, Ketua Pizza Hut Malaysia Loi Liang Tok dan Ketua Pegawai Eksekutif Juris Technologies & iMoney selaku Usahawan Endeavour See Wai Hun.

Sebagai sebahagian daripada rangkaian Endeavour, usahawan yang baru dipilih akan mendapat akses kepada perkhidmatan sokongan yang komprehensif, termasuk pengenalan kepada mentor perniagaan tempatan dan serantau serta pelabur yang akan membantu mereka menangani keperluan utama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 4:05 PM