SEBANYAK 34 motosikal musnah dalam kebakaran di Blok G PPR Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, awal pagi tadi. FOTO ihsan polis
SEBANYAK 34 motosikal musnah dalam kebakaran di Blok G PPR Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, awal pagi tadi. FOTO ihsan polis
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Angkara khianat, sebanyak 34 motosikal musnah dalam kebakaran di Blok G Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan jam 2.21 pagi daripada seorang wanita mendakwa berlaku kebakaran motosikal.

"Balai Bomba dan Penyelamat Sri Rampai Bomba dikejarkan ke lokasi serta kebakaran berjaya dipadamkan.

"Pemeriksaan mendapati terdapat 34 motosikal terbabit dalam kebakaran kerana kedudukan kenderaan terlalu rapat antara satu sama lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan siasatan mengenai punca kejadian masih dalam siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana terdapat unsur khianat dalam kejadian itu.

"Usaha diteruskan untuk mengesan suspek yang melakukan perbuatan khianat itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 4:05 PM