POLIS merampas kayu besbol susulan penahanan 19 individu terbabit dalam kejadian rusuhan di Ara Damansara. FOTO Ihsan PDRM
POLIS merampas kayu besbol susulan penahanan 19 individu terbabit dalam kejadian rusuhan di Ara Damansara. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi

Petaling Jaya: Polis menahan 19 individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian rusuhan bersenjatakan kayu di kawasan Ara Damansara, di sini, semalam dipercayai berpunca daripada perebutan teman wanita.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung rusuhan itu kira-kira jam 9 pagi daripada seorang lelaki.

Menurutnya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya ke lokasi kejadian dan menahan 15 lelaki serta empat wanita berusia 15 hingga 27 tahun.

"Siasatan awal mendapati, rusuhan atau pergaduhan itu berlaku disebabkan perebutan teman wanita.

"Dalam serbuan itu, turut dirampas sebatang kayu besbol yang disyaki digunakan salah seorang suspek semasa kejadian yang menyebabkan kecederaan ke atas mangsa.

"Semakan rekod jenayah lampau terhadap 19 suspek mendapati dua daripada mereka mempunyai dua rekod jenayah lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 5:49 PM