ABDUL Aziz (belakang) bersama sebahagian anak Syria termasuk sebahagian daripada mereka adalah yatim piatu. FOTO Othman Mamat
ABDUL Aziz (belakang) bersama sebahagian anak Syria termasuk sebahagian daripada mereka adalah yatim piatu. FOTO Othman Mamat
Othman Mamat

Jarabulus (Syria): Lebih 1.2 juta kanak-kanak di utara Syria kini menjadi yatim atau yatim piatu selepas kematian bapa dan ibu akibat pengeboman dilakukan tentera regim dalam konflik bersenjata yang berlarutan sejak 2011 hingga sekarang.

Kanak-kanak berkenaan kini terpaksa berpindah-randah dari satu kawasan ke kawasan lain untuk melepaskan diri daripada cengkaman regim yang zalim dan demi kelangsungan hidup mereka menagih simpati daripada penderma termasuk dari Malaysia.

Pengarah Program ATAA Foundation, Abdul Aziz Mansour berkata dengan bantuan rakyat Malaysia untuk menaja anak yatim ini atau keluarga miskin, kehidupan akan bertambah baik memandangkan mereka memerlukan bantuan untuk memulakan hidup selepas terjejas teruk akibat perang.

"Mengikut statistik terbaru, lebih daripada 1.2 juta kanak-kanak di utara Syria sebenarnya anak yatim tanpa mempunyai bapa dan ibu akibat pengeboman dan perpindahan dari satu kawasan ke kawasan lain.

"Sehubungan itu, kami merayu sumbangan untuk program penajaan bukan saja bantuan wang tunai, tetapi juga pakej penuh bantuan untuk anak yatim sebagai sokongan kepada keluarga yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kotak makanan kepada keluarga miskin yang juga pelarian di negara sendiri (IDP) di kem pelarian di sekitar bandar ini bersama anggota Misi Kemanusiaan MyCare/Econsave di Syria, semalam.

Antara bantuan yang diberikan semalam ialah wang tunai, kerusi roda dan kotak makanan.

Menurut Abdul Aziz, program tajaan anak yatim serta keluarga miskin terbabit yang sudah bermula sejak enam tahun lalu yang mana antara lain boleh digunakan untuk kepada pendidikan, perlindungan serta lain-lain keperluan hidup.

"Sehingga tahun lalu, 20,000 kanak-kanak mendapat manfaat daripada program ini dan keperluannya semakin meningkat dari semasa ke semasa," katanya.

Sementara itu, Ahli Pemegang Amanah Humanitarian Care Nalaysia (MyCARE), Dr Mohd Zin Kandar, berkata pihaknya telah melaksanakan program tajaan anak yatim dan keluarga miskin sejak 2010.

"Antara kumpulan pertama ialah anak-anak Palestin di Lubnan iaitu di Beirut pada tahun 2010. Kita ada unit khas dan kakitangan MyCARE yang mengendalikan program tersebut dan kita peroleh data dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang merupakan rakan strategik kita di Lubnan, Gaza dan Salam Association di Jabalia juga di Gaza serta di Iraq, Syria dan Filipina.

"Jadi kita telah melaksanakan program ini berterusan dan menawarkan pakej tajaan anak-anak yatim ini kepada penaja-penaja kita di Malaysia sama ada di kalangan individu mahupun secara berkumpulan," katanya.

Dr Mohd Zin berkata untuk tajaan anak yatim di Palestin, Syria dan Iraq, nilainya adalah AS$50 sebulan manakala untuk keluarga miskin pula sebanyak AS$100 hingga AS$250 sebulan.

Bagi mereka yang berminat sila hubungi Unit Penajaan Anak Yatim MyCARE di nombor 013-7444760 atau 03-89412341 (Raimi Sayuti).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 5:39 PM