LARANGAN penjualan air zam zam sudah dikuatkuasakan sejak 2012 lagi. FOTO Arkib NSTP
LARANGAN penjualan air zam zam sudah dikuatkuasakan sejak 2012 lagi. FOTO Arkib NSTP
Mahani Ishak

Kuala Lumpur: Larangan penjualan air zam zam bukan perkara baharu berikutan sudah dikuatkuasakan sejak 2012 lagi.

Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd. Adnan berkata, kerajaan Arab Saudi juga tidak membenarkan eksport air zam zam dan tindakan menjualnya boleh dianggap penipuan.

"Ini berikutan air zam zam dibenar untuk diedarkan secara percuma kepada jemaah haji dan umrah untuk kegunaan sendiri dalam kuantiti terhad.

"Selaras dengan ketetapan Arab Saudi itu, hukum menjual air zam zam itu harus dengan syarat tidak bercanggah dengan hukum syarak seperti diterbitkan dalam Warta Kerajaan Selangor pada 31 Julai 2014," katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mengesahkan tiada pengedar atau syarikat di Malaysia diberikan lesen bagi import dan penjualan air zam zam.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim, berkata masyarakat Islam perlu akur dengan pendirian negara pengeluar yang melarang air zam zam dijual ke mana-mana negara asing termasuk Malaysia.

"Dikhuatiri air zam zam yang dijual di negara kita tidak tulen kerana KKM mengesahkan tiada pengedar atau syarikat di Malaysia diberikan lesen bagi import dan penjualan air itu.

"Apa yang masyarakat Islam boleh lakukan adalah tidak lagi membeli sebarangan kerana pihak berkuasa jelas memaklumkan tiada lesen import dikeluarkan. Malah di negara kita, tiada mekanisme untuk menguji ketulenan air zam zam itu.

"Selain itu, kita tunggu sahaja jemaah haji atau umrah pulang dari tanah suci, dan kita boleh meminta sedikit air zam zam daripada mereka, itu lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 5:17 PM