PASUKAN bomba membawa turun lelaki yang memanjat menara telekomunikasi di Kampung Bachang, hari ini. FOTO ihsan bomba
PASUKAN bomba membawa turun lelaki yang memanjat menara telekomunikasi di Kampung Bachang, hari ini. FOTO ihsan bomba
Nuraliawati Sabri


Melaka: Bomba mengambil masa hampir satu jam untuk memujuk seorang lelaki yang memanjat menara telekomunikasi setinggi 45 meter di Kampung Bachang, di sini, hari ini.

Tindakan lelaki itu yang dipercayai menghidap masalah mental disedari orang awam sebelum menghubungi pasukan bomba pada jam 8.12 pagi.

Penolong Pengarah Operasi Negeri (PPON) Penguasa Kanan Bomba II Muhammad Izwan Arief Mat Nor berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, sebuah jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah bersama sembilan anggota termasuk komander operasi ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sejurus tiba di lokasi, pasukan penyelamat mendapati seorang lelaki berusia 30-an berada di menara dan bomba cuba mengawal keadaan agar dia tidak bertindak di luar kawalan.

"Kami mengambil sedikit masa sebelum naik atas faktor keselamatan kerana kelihatan dia ada memegang alatan tajam, kita khuatir jika lelaki itu bertindak membalingnya ke arah anggota yang cuba naik.

"Selepas keadaan terkawal seramai enam anggota naik dan cuba memujuk. Akhirnya dia bersetuju turun selain keadaannya ketika itu mula bertenang," katanya.

Menurutnya, operasi membawa turun lelaki itu berjalan dengan lancar selain dia bertindak menuruti arahan bomba.

"Sebelum membawanya turun kita memakaikan dia tali keselamatan bagi mengelak berlakunya perkara tidak diingini.

"Mungkin disebabkan penat kerana sudah lama berada di puncak selain faktor cuaca panas dia memberi kerjasama," katanya.

Muhammad Izwan berkata, sebaik berjaya dibawa turun jam 1.44 tengah hari, lelaki itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Keseluruhan operasi mengalihkan masa kira-kira empat jam selepas operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.53 petang tadi," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 4:36 PM