Noor Hidayah Tanzizi


Sitiawan: Sebanyak 35 kluster Influenza Like-Illness (ILI) direkodkan di Perak setakat ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin.

Menurutnya, jumlah itu direkod sejak Januari lalu dengan 26 kluster masih aktif yang membabitkan institusi pendidikan.

Katanya, Kinta merekod enam kluster, tertinggi berbanding daerah lain iaitu Kuala Kangsar, Hulu Perak, Batang Padang, Kampar, Muallim dan Perak Tengah.

"Majoriti kes dirawat sebagai pesakit luar saja. Setakat ini wabak masih terkawal dan tiada sebarang kematian direkodkan," katanya selepas merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Hari Denggi ASEAN Peringkat Negeri Perak 2022 & Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Padang Astaka, di sini, hari ini.

Mohd Akmal menasihati orang ramai agar mengambil langkah sewajarnya sekiranya mempunyai simptom kerana sifat virus yang mudah berjangkit, selain mengambil vaksin influenza untuk pencegahan.

Mengenai kes denggi, katanya, jumlah kumulatif kes sebanyak 463 setakat 27 Jun lalu, meningkat 47.9 peratus (150 kes) berbanding tempoh sama, tahun lalu (313 kes).

"Daerah Kinta merekodkan kes denggi tertinggi dengan 252 kes, diikuti Larut Matang dan Selama (LMS) (44 kes) dan Manjung (43 kes).

"Justeru, kita perlu usaha secara konsisten dan lebih agresif dalam membanteras wabak denggi dan masyarakat perlu meluangkan masa 10 minit bagi melakukan pembersihan serta menghapuskan tempat pembiakan Aedes setiap minggu," katanya.

Untuk rekod, sehingga Jun lalu, terdapat 232 pasukan Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) di Perak yang melaksana aktiviti pencegahan denggi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 2:22 PM
MOHD Akmal (dua kiri) melawat gerai pameran pada majlis sambutan di Padang Astaka, Sitiawan hari ini. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
MOHD Akmal (dua kiri) melawat gerai pameran pada majlis sambutan di Padang Astaka, Sitiawan hari ini. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.