dua nelayan warga asing yang bergaduh atas sebuah bot, ditahan APMM. Ihsan APMM
dua nelayan warga asing yang bergaduh atas sebuah bot, ditahan APMM. Ihsan APMM
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua nelayan warga Thailand selepas didapati bergaduh di atas sebuah bot nelayan tempatan di kedudukan 7.8 batu nautika barat daya Pulau Kalumpang, dekat sini, Rabu lalu.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, hasil aduan daripada ejen bot terbabit, pasukan bot peronda APMM diatur gerak ke lokasi untuk pengesahan.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, pasukan bot ronda bertindak merapati bot nelayan berkenaan untuk pemeriksaan lanjut dan mendapati dua nelayan warga Thailand berusia 37 dan 39 tahun cedera.

"Seorang daripadanya cedera di kepala manakala seorang lagi melecur di bahagian perut," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua nelayan itu ditahan dan sebilah pisau yang disyaki digunakan dalam pergaduhan itu turut dirampas bagi tujuan siasatan.

"Nelayan yang cedera itu dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau dan dikejarkan ke Hospital Parit Buntar dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Daerah Kerian untuk rawatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 1:52 PM