Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: "Kami memang merancang bernikah pada 3 Julai dan secara kebetulan Tentera Darat Malaysia (TDM) mahu menganjurkan pernikahan secara beramai-ramai, jadi saya ikut serta," kata Lans Koperal Mohd Nur Ridzuan Zaharudin, 28, dari Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged), Johor.

Mohd Nur Ridzuan dan isteri, Nurul Asyiqin Mohd Nazri antara lapan pasangan Tentera Darat Malaysia (TDM) berusia antara 21 hingga 28 tahun yang dinikahkan pada Majlis Akad Nikah Peringkat Tentera Darat 2022, sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Darat Ke-89.

Anggota tentera itu berkata, dia tidak menyangka perjumpaan secara tidak sengaja dengan pasangannya yang menyertai Askar Wataniah empat tahun lalu berakhir ke jinjang pelamin dan lebih menggembirakan mereka diraikan oleh warga TDM.

"Saya beritahu isteri mengenai majlis pernikahan ini dan kami berbincang dengan keluarga. Saya amat bersyukur kerana kos majlis pernikahan termasuk bekas hantaran, penginapan dan kenderaan disediakan sekali gus dapat meringankan beban kami membuat persiapan.

"Alhamdulillah, majlis pernikahan ini berjalan lancar dan kami selamat diijabkabulkan," katanya ketika ditemui di Masjid Thoriq bin Ziyad Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.

Majlis pernikahan anjuran TDM dengan kerjasama Bank Muamalat itu disempurnakan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain bersama isteri, Puan Sri Zainuriah Mustapha.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan isteri serta Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan bersama isteri.

Bagi Prebet Batalion Ke-73 Kor Perkhidmatan Diraja (73 BN KPD), Ammar Haris, 26, perasaan berdebar tetap ada walaupun bernikah secara beramai-ramai.

"Saya berterima kasih kepada TDM dan Bank Muamalat yang menaja majlis ini kerana sedikit sebanyak membantu memudahkan urusan serta meringankan beban pengantin baharu seperti saya," katanya yang mengenali isteri, Rabiatul Adawiyah Yahya ketika bekerja sebagai tukang masak bersama di Perak.

Prebet 71 Rejimen Semboyan Diraja (RSD), Muhd Shahizan Amry Mohd Amir, 24, juga mengakui majlis pernikahan itu akan menjadi kenangan terindah buatnya dan isteri Siti Lailatul Najihah Alias.

Katanya, dia berterima kasih kepada pihak penganjur yang banyak membantu dari segi membuat persiapan perkahwinan selain turut meraikan mereka dalam majlis perdana itu.

Sementara itu, Zamrose berkata, majlis diadakan dapat meringankan beban mereka dalam membuat persediaan perkahwinan selain mengeratkan ukhwah sesama warga TDM.

Beliau berkata, majlis pernikahan serentak ini akan mengukuhkan semangat setiakawan anggota.

Katanya, TDM juga akan meraikan pasangan itu dan 19 lagi pasangan pengantin baharu dalam Majlis Makan Malam Meraikan Pengantin Baharu Warga Tentera Darat 2022 di Dewan Dato' Jamil Ahmad, Kem Perdana Sungai Besi, malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 1:02 PM
LAPAN pasangan pengantin bergambar bersama Zamrose dan isteri, Zainuriah (tengah sedondon hijau) dalam Majlis Akad Nikah Peringkat Tentera Darat 2022 di Masjid Thoriq bin Ziyad Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, hari ini. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
LAPAN pasangan pengantin bergambar bersama Zamrose dan isteri, Zainuriah (tengah sedondon hijau) dalam Majlis Akad Nikah Peringkat Tentera Darat 2022 di Masjid Thoriq bin Ziyad Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, hari ini. FOTO Raja Noraina Raja Rahim