FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Tertekan keluarga di kampungnya sering meminta duit menyebabkan seorang pembantu rumah warga asing cuba membunuh diri dengan pisau di kediaman majikannya di Taman Tun Abdul Razak, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, majikan lelaki berusia 68 tahun semasa berada di rumah melihat wanita terbabit yang berumur 28 tahun cuba membunuh diri dengan pisau pada jam 10.30 malam.

Menurutnya, punca kejadian akibat tekanan kerana keluarga pembantu rumah terbabit di kampung sering meminta duit daripadanya.

"Dia sudah bekerja dengan majikannya lebih kurang setahun.

"Susulan itu, pada jam 1.30 pagi semalam, polis menahannya dan direman empat hari hinggq 30 Jun ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, turut dirampas sebilah pisau yang digunakan semasa kejadian.

Katanya, wanita terbabit tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 12:47 PM