KERETA Proton Persona yang dinaiki tiga beranak berjaya ditarik keluar dari dasar sungai Jambatan Pantai Cicar, Kuala Ketil. FOTO Zuliaty Zulkiffli
KERETA Proton Persona yang dinaiki tiga beranak berjaya ditarik keluar dari dasar sungai Jambatan Pantai Cicar, Kuala Ketil. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Baling: Laluan lurus Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani-Baling dianggap sebagai lokasi berbahaya oleh penduduk berhampiran yang sering menggunakannya setiap hari.

Penduduk Pantai Cicar mendakwa keadaan jalan yang tidak mempunyai lampu serta tembok di bahagian tepi jambatan itu menyebabkan kemalangan kerap berlaku.

Peniaga kedai makan, Nazri Md Noor, 42, berkata, kejadian kemalangan yang menyebabkan tiga beranak maut dua hari lalu, masih menghantui penduduk di kawasan itu.

Katanya, dia yang berniaga kedai makan pada jarak kira-kira 100 meter dari jambatan itu mengakui, sudah tiga kali ternampak kenderaan terbabas ke dalam sungai termasuk sebuah bas pekerja dua tahun lalu.

"Bahagian tepi jambatan itu tiada penghadang dan jika ada kenderaan terbabas, pemandu akan terus terjunam ke dalam sungai.

"Sungai Muda ini memang paras airnya sangat dalam kerana ia menjadi kawasan tadahan air serta mengalir terus sehingga ke laut," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Nazri berkata, dalam kejadian Sabtu lalu, dia berada di kedainya sebelum melihat orang ramai berhenti berdekatan jambatan.

"Saya nampak banyak kereta berhenti di jambatan sebelum dimaklumkan ada kereta Proton Persona terjatuh ke dalam sungai.

"Kami memang tidak menyangka mangsa yang terkorban adalah tiga beranak kerana selama ini pemandu kenderaan sempat menyelamatkan diri," katanya.

Seorang lagi penduduk, Khairul Ahmad Shukri, 25, berkata penduduk di kawasan itu berharap ada tembok penghadang dipasang di tepi sungai berkenaan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Katanya, laluan itu gelap pada waktu malam kerana ketiadaan lampu jalan di kawasan jambatan dan menimbulkan kebimbangan di kalangan penduduk.

"Ini laluan utama penduduk Pulau Cicar kalau hendak ke Sungai Petani atau Baling dan sudah tentu banyak kenderaan melalui kawasan ini.

"Saya harap pihak berkuasa dapat melakukan penambahbaikan di kawasan ini bagi mengelak kejadian sama berulang seperti yang berlaku dua hari lalu," katanya.

Khairul berkata, biasanya kemalangan yang berlaku di kawasan jambatan itu adalah membabitkan kereta atau kenderaan berat yang terbabas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat ketika dihubungi berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan berlaku.

Beliau berkata, laluan Jalan Sungai Petani - Baling itu bukan laluan utama sebaliknya ia hanya jalan kampung untuk penduduk keluar ke Sungai Petani atau Baling.

"Memang ada kemalangan berlaku di kawasan itu, tetapi tidak membabitkan kematian.

"Cuma kemalangan yang berlaku dua hari lalu, membabitkan kematian tiga beranak selepas kereta Proton Persona itu terbabas dan terjunam ke dalam sungai berkenaan," katanya.

Dalam kejadian Sabtu lalu, tiga beranak ditemukan lemas selepas kereta Proton Persona yang dinaiki mereka terbabas lalu terjunam ke dalam sungai di Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani-Baling.

Kenderaan mereka dipercayai terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Muda sekitar jam 6.30 petang.

Mayat mangsa, Masyitoh Ibrahim, 37, bersama dua anaknya, Muhammad Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Muhammad Ziyad Haziq, 5, kemudian ditemui dalam keadaan saling berpelukan di bahagian belakang kenderaan selepas kereta itu berjaya ditarik naik menggunakan kren.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 4:31 PM