NORFADILAH Mansor (kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada Muhammad Rushdi bapa kepada lima anak berusia dari 9 bulan hingga 12 tahun, Seremban. FOTO Mohd Khidir Zakaria
NORFADILAH Mansor (kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada Muhammad Rushdi bapa kepada lima anak berusia dari 9 bulan hingga 12 tahun, Seremban. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Seremban: Berat dugaan ditanggung bapa lima anak ini selepas pemergian isteri tercinta yang menghidap kanser pangkal rahim, Jumaat lalu.

Muhammad Rushdi Tukiar, 30, bukan hanya hilang teman hidup, bahkan suri yang membantunya menambah pendapatan keluarga dan mengurus keperluan anak berusia sembilan bulan hingga 12 tahun.

Katanya, arwah Nurhidayu Abd Rased, 34, meninggal dunia dalam tidur di sisi anak sulung mereka, Elisya Rosnaidah, 12, manakala dia tiada di rumah kerana ke Kuala Terengganu atas urusan keluarga.

"Saya kesal apabila tidak sempat menghantarnya untuk pemeriksaan kesihatan pada Isnin. Saya sudah berjanji membawanya selepas saya pulang dari Terengganu.

"Ketika hari kematiannya, anak memberitahu arwah tidur dari pagi dan sedar seketika pada tengah hari sebelum menyambung tidur semula hinggalah pada 6 petang, saya terima panggilan lagi memaklumkan dia sudah tiada.

"Saya bergegas pulang dan tiba pada 4 pagi keesokan harinya untuk mengurus jenazah isteri. Jenazah disemadikan di Tanah Perkuburan Kariah Gadong Jaya, Labu, Seremban," katanya yang hanya bekerja sebagai penjaga stor di Nilai.

Muhammad Rushdi berkata, meskipun sukar meneruskan kehidupan sebagai bapa tunggal, dia tidak berhasrat menyerahkan anaknya kepada orang lain dan akan menjaga mereka dibantu ahli keluarga.

Dia juga terpaksa bekerja keras untuk menyara anaknya yang masih kecil apatah lagi, sebelum ini pernah mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan untuk menjaga arwah yang disahkan menghidap penyakit itu sejak Ogos tahun lalu.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9), Norfadilah Mansor berkata, pihaknya banyak membantu keluarga Muhammad Rushdi sejak beberapa tahun lalu disebabkan kesukaran dialami mereka.

"Arwah Nurhidayu ketika hayatnya menjual roti canai di depan rumah untuk membantu tambah pendapatan suaminya. Kami akan memanjangkan masalah keluarga ini untuk perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 2:59 PM