Aizat Sharif


Kangar: Gelombang baharu penularan jangkitan Covid-19 dijangka tidak mendatangkan kesan besar seperti fasa pandemik terdahulu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata walaupun kes penularan pandemik secara keseluruhan di negara ini didapati meningkat melebihi 2,000 kes pada minggu lalu, kesannya tidak serius.

"Walaupun kes meningkat tetapi kesan tidak serius sangat, maksudnya jumlah yang dimasukkan ke hospital atau Unit Rawatan Rapi (ICU) serta jumlah kematian masih pada paras rendah.

"Ini maksudnya kita nak kena 'hidup' dengan Covid-19 dan di sini walaupun gelombang itu datang tetapi kesannya bukan macam dahulu.

"Jika dahulu gelombang datang, ramai masuk hospital namun sekarang ini 96 peratus mereka yang positif Covid-19 hanya perlu duduk di rumah sahaja dan dalam dua hingga ketiga hari kemudian mereka sembuh," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Pelancaran Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Perlis di Dataran Dato Sheikh Ahmad, di sini hari ini yang dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut hadir adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Exco Kesihatan, Sumber Asli dan Alam Sekitar, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Negeri Perlis, Teh Chai Aan yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr Sirajuddin Hashim.

Katanya, pihaknya menggalakkan suntikan dos ketiga vaksin Covid-19 atau dos penggalak kedua dapat dilaksanakan secara aktif ke atas warga emas sebagai perlindungan dalam menghadapi ancaman penularan Covid-19 menerusi gelombang baharu nanti.

"Di peringkat kebangsaan, hampir 70 peratus atau lebih spesifik 68 peratus dalam kalangan populasi dewasa sudah mendapat suntikan dos penggalak namun di Perlis pula hanya 43 peratus sahaja dalam populasi ini (dewasa) yang menerima suntikan.

"Saya risau jika gelombang baharu ini datang, bagi mereka yang berusia 60 tahun ke bawah ini, jangkitan Covid-19 ini mungkin sekadar selsema biasa disebabkan sudah ada vaksin namun bagi warga emas pula, ia memang berisiko sebab tahap imuniti mereka rendah," katanya.

Terdahulu, Khairy bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail melancarkan Karnival Jelajah ANMS Peringkat Negeri Perlis dengan menyerahkan Kit Pengurusan Kawalan Kendiri kepada wakil komuniti Perlis, Mohd Bakri Zakaria.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 3:14 PM
    KHAIRY (kanan) bersama Tuanku Syed (kirFaizuddin i sekali) dan Tuanku Lailatul (tengah) melancarkan Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Dataran Dato Sheikh Ahmad, Kangar. FOTO Aizat Sharif
    KHAIRY (kanan) bersama Tuanku Syed (kirFaizuddin i sekali) dan Tuanku Lailatul (tengah) melancarkan Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Dataran Dato Sheikh Ahmad, Kangar. FOTO Aizat Sharif