Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Datuk Asman Shah Abd Rahman. Gambar oleh Mary Victoria Dass
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Datuk Asman Shah Abd Rahman. Gambar oleh Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) mengadakan program pemutihan rumah pangsa yang disewakan bagi memastikan hanya mereka yang memenuhi kriteria ditetapkan menghuni di bangunan terbabit.

Datuk Bandar Pasir Gudang Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, langkah itu dibuat susulan aduan diterima pihaknya daripada orang ramai berkaitan terdapat penghuni yang menyewa rumah pangsa di Taman Cendana dan Taman Air Biru tanpa melalui saluran yang sepatutnya.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai di media sosial berkaitan rumah pangsa itu disewakan secara haram kepada mereka yang tidak layak atau sewa atas sewa.

Menurutnya, penyewa asal juga mengaut keuntungan dengan menyewakan unit dengan harga yang lebih tinggi.

Katanya, pihaknya memutuskan untuk menjalankan program pemutihan di termasuk memberi notis kepada mereka yang tinggal di flat secara haram dan meminta mereka berpindah.

"Proses pemutihan itu sudah bermula pada April tahun ini," katanya di Sesi Town Hall Bersama Datuk Bandar di Dewan Serbaguna Taman Mawar di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak.

Asman Shah berkata, pihaknya akan memberi peluang dan tempoh bagi penghuni yang memenuhi kriteria untuk menyewa unit terbabit.

Menurutnya, pihaknya akan minta mereka memohon menerusi saluran yang sepatutnya.

"Kita perlu berlaku adil kepada semua orang dan mesti memastikan rumah pangsa itu boleh memberi manfaat kepada kumpulan sasaran.

"Bagi mereka yang gagal membayar sewa selama enam bulan ke atas, kami juga akan mengeluarkan notis kepada mereka.

"Mereka akan diberi masa beberapa bulan untuk menjelaskan bayaran tertunggak termasuk secara ansuran," katanya.

Asman Shah berkata, kadar sewa rumah pangsa berkenaan adalah antara RM230 dan RM270 seunit.

Beliau berkata, terdapat sebanyak 23 blok di Taman Cendana dan 83 blok di Taman Air Biru ketika ini yang boleh menempatkan kira-kira 60,000 hingga 70,000 orang.

"Rumah pangsa di kedua-dua kawasan itu juga sudah lama dan memerlukan sedikit kerja naik taraf.

"Kami juga sedang mengkaji untuk merobohkannya dan menggantikannya dengan bangunan baharu pada tahun depan," katanya.

Sementara itu, Asman Shah berkata, MBPG sedang mengkaji untuk membina beberapa taman permainan dewasa di bandar ini bagi membantu meningkatkan tahap kecergasan orang ramai khususnya warga emas.

"Kita perlu meneliti perkara itu terlebih dahulu termasuk mengenal pasti lokasi sekitar Pasir Gudang yang mempunyai populasi warga emas yang lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 2:47 PM