ISMAIL Sabri (kanan) menyaksikan pelancaran satelit Measat-3D secara langsung. FOTO Aizuddin Saad
ISMAIL Sabri (kanan) menyaksikan pelancaran satelit Measat-3D secara langsung. FOTO Aizuddin Saad
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Satelit Measat-3d yang dilancarkan hari ini menjadi aset paling penting kepada negara dalam merealisasikan ketercapaian Internet 100 peratus sebelum 2025.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, satelit ini juga akan meningkatkan perkhidmatan jalur lebar sedia ada sekali gus masalah kelompongan capaian di negara dapat diatasi.

"Hari ini ada dua aspek penting iaitu pertama, pelancaran satelit ini meningkatkan capaian liputan 100 peratus bagi semua kawasan berpenduduk sebelum 2025.

"Keduanya pula kita boleh meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar, meningkatkan perkhidmatan kelajuan tinggi seperti mana yang digunakan untuk rangkaian gentian optik.

"Kawasan pedalaman yang tidak mempunyai capaian Internet berkelajuan tinggi, kita akan gunakan teknologi satelit ini, sekarang pun kita sudah guna cuma kapasiti serta kelajuan rendah," katanya.

Beliau berkata, menerusi satelit Measat-3d ini, perkhidmatan jalur lebar yang lebih baik dan berkelajuan tinggi antara 35 mbps hingga 100 mbps dapat disediakan.

Satelit Measat-3d berjaya dilancarkan dari European Spaceport di Kourou, French Guiana, 5.50 pagi tadi (waktu Malaysia).

Pelancaran berkenaan yang turut disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dari Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Sementara itu, Perdana Menteri menerusi hantarannya di Facebook berkata, ia adalah hari yang penuh bersejarah apabila Measat Global Berhad (Measat) melancarkan satelit mereka.

"Hari yang penuh bersejarah, Measat sudah melancarkan satelit Measat-3d (di Kourou, French Guiana)," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 12:17 PM